Beregu wanita negara, Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah muncul juara Terbuka Switzerland baru-baru ini. FOTO BAM
Beregu wanita negara, Pearly Tan (kiri) dan M Thinaah muncul juara Terbuka Switzerland baru-baru ini. FOTO BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Beregu wanita negara yang menakluk bumi Switzerland awal bulan ini, Pearly Tan-M Thinaah sudah bersedia untuk membuat penampilan pertama mereka di pentas Seluruh England, esok.

Bagaimanapun, laluan beregu negara itu tidak mudah apabila mereka diundi berjumpa pemain pilihan keempat dari Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai seawal pusingan pertama.

Tapi perkara itu langsung tidak menggentarkan mereka, malah Pearly berkata, dia cukup teruja untuk turun beraksi di Arena Birmingham di Birmingham, England.

"Saya memang sudah bersedia dan sangat teruja untuk turun beraksi kerana ini adalah kali pertama saya bersama Tina (Thinaah) mengambil bahagian di Seluruh England.

"Biar siapapun yang kami temui, bagi saya setiap pusingan itu memberi cabaran berbeza. Contohnya kali ini, kami bertemu 10 terbaik dunia dan saya anggap itu satu cabaran bagi saya dan Tina," katanya.

Mengulas mengenai sasarannya selepas muncul juara di Terbuka Switzerland, Pearly berkata, sasarannya adalah untuk mempamerkan rentak terbaik dalam semua perlawanan.

Satu lagi beregu wanita negara yang akan beraksi di kejohanan Jelajah Super Dunia 1,000 yang menawarkan hadiah RM3.5 juta itu adalah Teoh Mei Xing-Yap Ling.

Kejohanan yang tidak menawarkan mata kelayakan ke Olimpik itu turut membabitkan penyertaan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang diletakkan pilihan keenam selain Liew Darren manakala S Kisona menjadi wakil tunggal dalam acara perseorangan wanita.

Dalam aksi beregu lelaki, tiada kelibat beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan Persatuan Badminton Malaysia mempertaruhkan beregu muda, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong selain Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Sementara dalam acara beregu campuran, seramai lima pasangan negara akan beraksi membabitkan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 7:22 PM