ZII Jia disenaraikan bersama-sama Tze Yong, Jun Hao, June Wei untuk perseorangan lelaki. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
ZII Jia disenaraikan bersama-sama Tze Yong, Jun Hao, June Wei untuk perseorangan lelaki. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun prestasi yang masih terumbang-ambing, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih mempercayai kemampuan perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia untuk mengalas selaku wakil negara di temasya Sukan Asia, Hangzhou September ini.

Lee Zii Jia bersama-sama Ng Tze Yong disenaraikan dalam acara perseorangan lelaki selain turut diturun dalam acara berpasukan.

Bagi acara wanita, pasukan negara mempertaruhkan Goh Jin Wei dan K Letshanaa.

Pengumuman nama barisan pemain negara itu umumkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM yang memaklumkan bahawa negara tidak akan menghantar penyertaan dalam acara berpasukan wanita.

Acara berpasukan lelaki akan disertai Zii Jia, Tze Yong, Leong Jun Hao, Cheam June Wei (perseorangan), Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi, Goh Soon Huat dan Chen Tang Jie (beregu).

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menyatakan acara berpasukan lelaki mempunyai peluang meraih pingat emas.

Beliau mengatakan perkara itu berdasarkan pemerhatiannya yang mana semua negara kini memiliki kekuatan seimbang.

"Semua pasukan ada peluang termasuk kita. Kalau semuanya berjalan baik kita ada peluang raih emas.

"Prestasi Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi dan stabil. Zii Jia pula sekarang ini sudah dibimbing oleh Wong Tat Meng. Harap prestasi lebih baik untuk kita lebih kuat di Sukan Asia nanti.

"Tze Yong pula, bukan masalah teknik atau skil tetapi lebih kepada kekuatan. Kalau dilihat pemain ternama, mereka mempunyai badan yang kuat, dia kurang dari sudut itu saja," katanya.

Sementara itu dalam acara beregu lelaki, skuad badminton negara akan diwakili Aaron-Wooi Yik dan Yew Sin-Ee Yi manakala beregu wanita disertai Pearly Tan-M Thinaah dan Go Pei Kee-Valeree Siow.

Bagi cabaran beregu campuran, Malaysia diwakili Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 5:06 PM