REAKSI Zii Jia ketika bertemu Anthony Sinisuka Ginting. FOTO AFP
REAKSI Zii Jia ketika bertemu Anthony Sinisuka Ginting. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tewas di suku akhir Masters Indonesia bukan ukuran kekuatan sebenar pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.

Zii Jia yang akan turun beraksi di Terbuka Indonesia bermula esok berkata, misinya untuk memburu kejuaraan di Indonesia tidak pernah padam.

Kekalahan kepada pemain tuan rumah Anthony Sinisuka Ginting ketika Masters Indonesia mahu ditebus kali ini di Terbuka Indonesia di venue yang sama dekat Istora Senayan.

Zii Jia yang kini menghuni ranking kelima dunia akan membuka tirai kejohanan dengan bertemu lawan dari Thailand, Sitthikom Thammasin pada pusingan pertama.

Dia seterusnya akan bertemu dengan pemenang antara Parupalli Kashyap dan Sameer Verma di pusingan kedua.

Andai berjaya mara, menanti Zii Jia di suku akhir adalah juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew yang mana rekod pertemuan masih berpihak kepada pemain negara, 3-2.

Kali terakhir kedua-dua pemain itu bertemu adalah ketika di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia menyaksikan kemenangan berpihak kepada Zii Jia dalam pertarungan straight set 21-6, 21-14.

Bagi Zii Jia dia sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mengibarkan cabaran.

"Apa yang saya dapat pelajari ketika di Masters Indonesia adalah perlu kurang melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya dan lebih bersabar," katanya.

Sementara itu bagi jurulatihnya, Indra Wijaya, Zii Jia bermain dengan baik ketika Masters Indonesia namun perlu diakui bahawa lawan menampilkan permainan yang lebih baik.

"Banyak pelajaran yang kita dapat dan boleh digunakan pada perlawanan akan datang.

"Saya rasa dia sudah bersedia untuk berdepan dengan siapa saja lawannya dan mempelajari sesuatu daripada Masters Indonesia," katanya.

Selain Zii Jia turut beraksi di Terbuka Indonesia adalah seorang lagi pemain profesional negara Liew Daren.

Dalam acara beregu wakil negara yang akan beraksi Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin,, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.

Beregu wanita akan diwakili Anna Cheong Ching Yik-Teoh Mei Xing, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Tan Kian Meng-Lai, Pei Jing, Chan Peng Soon-Cheah Yee See, Chen Tang Jie-Valeree Siow, Goh Soon Huat- Shevon Lai, , Soong Joo Ven-Goh Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 12:57 PM