Aksi Ng Eng Cheong (kanan) dan Low Hang Yee beregu muda negara. FOTO Ihsan BAM
Aksi Ng Eng Cheong (kanan) dan Low Hang Yee beregu muda negara. FOTO Ihsan BAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Semangat juang yang dipamerkan oleh beregu muda negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong wajar mendapat pujian apabila melakar kejutan menewaskan pilihan keempat dari England, Marcus Ellis-Chris Langridge untuk menempah tempat ke suku akhir badminton Terbuka Switzerland, semalam.

Kemenangan yang cukup bermakna biarpun beraksi tiga set apabila mereka bangkit mengejar lawan biarpun ketinggalan 4-11 di set ketiga untuk menang 10-21, 21-15, 21-15.

"Pada set pertama kami cuba mencari rentak. Kami tidak biasa dengan cara permainan lawan tetapi di set kedua kami lebih fokus dalam taktikal dan yakin dengan permainan.

"Set ketiga walaupun kami ketinggalan di awal permainan, kami tidak putus asa dan cuba meraih mata demi mata. Kami akan memberi tumpuan dari satu perlawanan ke satu perlawanan dan harap dapat keputusan yang baik," kata Hang Yee.

Mereka akan turun beraksi menentang pilihan keenam dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di suku akhir bagi mencari slot separuh akhir kejohanan bertaraf Siri Jelajah Dunia Super 300 itu.

Turut mara ke suku akhir, lapan lagi wakil negara termasuk Lee Zii Jia yang menewaskan wakil Denmark, Victor Svendsen 21-15, 21-11 dan akan menentang pilihan kelima dari India, B Sai Praneeth.

Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut mara selepas Jeppe Bay-Lasse Molhede menarik diri pada saat akhir manakala Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menang 21-18-21-13 ke atas pasangan Denmark, Joel Eipe-Rasmus Kjaer.

Beregu wanita turut cemerlang dengan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean menewaskan Linda Efler-Isabel Herttrich 21-18, 21-17 manakala Pearly Tan-M Thinaah menundukkan Anastasiia Akchurina-Olga Morozova 21-16, 21-18.

Selain itu pasangan beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mengiringi rakan yang lain ke suku akhir ketika Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan dalam kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 9:39 PM