JODOH Sathianathan bersama Selangor berakhir semalam.
JODOH Sathianathan bersama Selangor berakhir semalam.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menafikan tuduhan wujud konspirasi untuk menyingkirkan B Sathianathan sejak awal musim ini.

Sebaliknya, pengendali yang ditamatkan kontrak oleh FAS semalam sememangnya sudah dimaklumkan khidmatnya tidak akan disambung penghujung musim ini.

Jelas Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, tidak timbul perancangan tersembunyi untuk menganiaya Sathianathan kerana sejak awal lagi jurulatih berpengalaman itu sudah dimaklumkan mengenai kedudukannya.

"Sebenarnya beliau (Sathianathan) pun tahu, yang khidmatnya hanya sehingga musim ini saja kerana mulai tahun depan kita akan menggunakan jurulatih baharu.

"Walaupun dia menang piala (musim ini), kita tetap dengan perancangan untuk ambil jurulatih baharu dan itu sudah jelas kerana pihak pengurusan sudah ada arah tuju baru dalam bola sepak," katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya lagi, pelantikan Pengarah Teknikal pasukan (TD), Micheal Feichtenbeiner sebagai jurulatih sementara adalah keputusan pengurusan tertinggi FAS yang mahu jurulatih Jerman itu menerapkan DNA baharu dalam permainan skuad Red Giants.

"Dalam struktur bola sepak Selangor kita nak masukkan struktur TD sebagai pegawai paling tinggi dalam Selangor. Kita nak perkenalkan struktur baharu, tapi untuk tahun pertama ini Sathianathan adalah jurulatih Liga Super bagi tahun kedua dan sebab itu kita kecilkan skop tugas TD supaya jaga Selangor II dan ke bawah.

"Maknanya peranan TD sekarang (Feichtenbeiner) adalah untuk memperkenalkan sistem atau DNA bola sepak Selangor yang sama.

"Buat tahun ini Selangor II dan Piala Presiden dah gunakan cara yang sama, latihan yang sama dan kerjasama secara berkumpulan. Inilah perancangan jangka panjang Selangor diilhamkan oleh Raja Muda Selangor dan itu visinya.

"Bila tiba masanya pasukan Liga Super pun kenalah ikut serta dan selari. Dalam hal ini, Sathianathan sudah tahu dan kita di FAS mahu cara yang TD bawa. Bukan bermaksud cara Sathianathan tak bagus, tapi dia ada cara sendiri.

"Buat masa ini TD akan ambil sementara tugas Sathianathan dan musim depan akan ada jurulatih baharu yang akan ikut DNA Selangor di bawah pemantauan TD pasukan," katanya.

Semalam, Sathianathan dipecat meskipun kontraknya hanya berakhir hujung musim ini gara-gara kekalahan memalukan 1-6 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu lalu.

Ia sekaligus menyaksikan bekas jurulatih Harimau Malaya itu muncul pengendali kedua dalam saingan Liga M musim ini 'direhatkan' selepas jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail turut menerima nasib sama ekoran prestasi merudum pasukan minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 10:19 AM