ALIFF Haiqal Hakim Lau (kanan) bakal memperkuatkan skuad utama Selangor musim depan. FOTO NSTP
ALIFF Haiqal Hakim Lau (kanan) bakal memperkuatkan skuad utama Selangor musim depan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad campuran senior dan junior bakal memperkuatkan cabaran Selangor FC bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan yang bakal menyingkap tirainya pada 27 Februari depan.

Seramai 15 pemain musim ini dikekalkan manakala lima 'ubi muda' daripada skuad Selangor II dinaikkan pangkat ke pasukan utama.

Menurut Pengarah Teknikal Selangor FC, Michael Feichtenbeiner, kehadiran lima pemain muda itu diyakini mampu memberi pilihan tambahan buat pengendali pasukan, Karsten Neitzel yang baharu dilantik minggu lalu.

Jelas Feichtenbeiner, beliau yakin barisan baharu Red Giant itu bakal tampil lebih ampuh dan bermain mengikut DNA sebenar Selangor.

"Pemain-pemain muda yang dinaikkan akan memberi tenaga dan kekuatan baru kepada pasukan utama. Mereka bakal bergandingan bersama pemain senior dan pada masa yang sama, memperbaiki permainan mereka.

"Dengan adanya pemain yang baharu ini, Selangor akan terdiri daripada gabungan pemain berpengalaman dan juga muda.

"Saya yakin bahawa Selangor mempunyai pemain yang selaras dengan gaya bola sepak kami," katanya yang sebelum ini dilantik sebagai jurulatih sementara bagi mengisi kekosongan selepas B Sathianathan dipecat September lalu.

Lima pemain muda yang akan memperkuatkan skuad utama musim depan adalah Aliff Haiqal Lau, Zikri Khalili dan Danial Asri yang sebelum ini turut disenaraikan dalam kempen Piala Malaysia bulan lalu.

Selain itu, pemain pertahanan tengah dan ketua pasukan Selangor II, Sharul Nazeem Zulphakar dan penjaga gol muda, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman turut terpilih bergabung dengan pemain senior musim depan.

Sementara itu, 15 tonggak senior yang dikekalkan adalah termasuk 13 pemain tempatan seperti Brendan Gan, Syahmi Safari, Halim Saari, Khairulazhan Khalid, Wan Zack Haikal, Tauffiq Ar-rashid, Namathevan Arunasalam, Ashmawi Yakin, Sean Selvaraj, Mukahiri Ajmal, Sarkunan Krishnansamy dan Rodney Celvin.

Untuk barisan pemain import, Selangor mengesahkan bahawa penyerang sensasi dari Nigeria, Ifedayo Olusegun terus kekal, selain pemain Singapura, Safuwan Baharudin untuk mengisi kuota pemain ASEAN.

Posisi seorang lagi pemain import Selangor, Sandro da Silva masih lagi belum diputuskan kerana ia masih lagi dalam perbincangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 7:50 PM