BAM anjur kejohanan simulasi
BAM anjur kejohanan simulasi
Ferzalfie Fauzi


SKUAD badminton negara akan melakukan persiapan terakhir untuk saingan Piala Thomas/Uber 2020 dengan mengambil bahagian di Piala Presiden yang kali pertama dianjurkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan mengesahkan kejohanan simulasi berpasukan itu akan diadakan pada 16 dan 17 September ini.

Sebelum ini BAM sudah berjaya menganjurkan kejohanan Jemputan BAM bulan lalu dan Piala Presiden ini bakal menampilkan 20 pemain yang disenaraikan dalam skuad Piala Thomas serta Uber bergabung bersama beberapa pemain lain.

Kesemua pemain berkenaan akan dibahagikan dalam dua kumpulan (Kumpulan A dan B) dan bergabung bersama pemain lain dengan perlawanan dilangsungkan tanpa penonton.

Choong Hann (dua dari kiri) memerhati sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara. FOTO File NSTP
Choong Hann (dua dari kiri) memerhati sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara. FOTO File NSTP

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, kejohanan berkenaan adalah peluang terbaik untuk pemain membiasakan diri dengan acara berpasukan.

"Kami berharap dapat melihat daya saing dan kekuatan dapat dipamerkan dalam kalangan pemain. Dalam masa sama kami berharap pemain juga mampu meningkatkan semangat sepasukan.

"Kami juga membahagikan kumpulan ini dengan seimbang, sebagai contoh jika Kumpulan A dibarisi skuad perseorangan utama, Kumpulan B pula menampilkan pasangan beregu utama.

"Ia sangat penting untuk mewujudkan pasukan yang mempunyai kekuatan seimbang," katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan BAM semalam itu, memperkuatkan lagi kedudukan dan pegangan mereka untuk tetap menghantar skuad ke Piala Thomas/Uber di Aarhus Denmark, walaupun beberapa nama besar seperti Indonesia, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan menarik diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 7:03 PM