Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Wong Choong Hann. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sama ada setuju atau tidak ini adalah masa yang tepat untuk mendedahkan pemain muda negara ke kancah kejohanan berprestij seperti Piala Thomas/Uber dan Piala Sudirman.

Pastinya akan wujud kombinasi pemain muda dan senior dalam skuad negara yang akan diumumkan Sabtu ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berakhir.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann memberi bayangan bahawa skuad negara akan didominasi barisan pemain muda di dua kejohanan utama itu yang mana BAM kini dalam proses terakhir untuk menilai pemain.

"Keputusan akan dibuat selepas kejohanan ranking dalaman berakhir esok.

"Selepas tamatnya Olimpik, ini adalah masa terbaik untuk kita dedahkan pemain muda ke peringkat tertinggi bagi membolehkan mereka menimba pengalaman. Jika tidak kita akan berdepan masalah yang sama untuk mencari pelapis pada tahun-tahun akan datang.

"Kita tidak hanya boleh mengharapkan pemain sedia ada kerana sampai bila mereka akan bertahan jika tidak diberikan peluang kepada pemain muda untuk mencuba nasib dan mencari pengalaman.

"Biarpun barisan pemain muda negara jauh ketinggalan dari negara-negara seperti Jepun dan Indonesia tapi saya percaya mereka juga boleh memberikan kejutan," katanya.

Choong Han berkata, keputusan menyenaraikan muka baru dalam skuad kali ini adalah sebagai langkah awal persediaan skuad negara untuk menghadapi temasya Olimpik Paris 2024 yang harus dimulakan daripada sekarang.

Untuk rekod skuad negara akan terlebih dahulu mengibarkan cabaran di kejohanan Piala Sudirman yang akan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober yang mana Malaysia di undi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Manakala saingan Piala Thomas/Uber pula akan berlangsung di Aarhus, Denmark pada 9 hingga 17 Oktober.

Skuad Piala Thomas negara diundi bersama Jepun, Kanada dan England dalam Kumpulan D manakala skuad wanita diundi dalam Kumpulan D akan bertemu China, Denmark dan Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:24 PM