SITI Nurshuhaini turut tersenarai dalam skuad Piala Uber.
SITI Nurshuhaini turut tersenarai dalam skuad Piala Uber.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seperti dijangka, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan barisan pemain muda untuk menghadapi tiga kejohanan penting membabitkan Piala Sudirman, Piala Thomas dan Piala Uber.

Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria pada sidang media di Akademi Badminton Malaysia hari ini, mengumumkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke suku akhir bagi ketiga-tiga kejohanan berkenaan.

Beliau menaruh keyakinan kepada pemain muda negara untuk melakarkan kejutan terutama apabila diletakkan sebagai 'under dog' seperti ditunjukkan beregu nombor satu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di pentas Olimpik Tokyo baru-baru ini apabila berjaya menundukkan beregu nombor satu dan dua dunia.

Kata Norza, jika mahu merealisasikan impian menghantar dua wakil dalam setiap kategori pada temasya Olimpik Paris 2024, tindakan berani dengan menurunkan pemain muda perlu dimulakan daripada sekarang.

"Sasaran adalah suku akhir untuk semua pertandingan. Apa yang penting pendedahan dan seperti sebelum ini pernah dikatakan Pengarah Kejurulatih BAM, Wong Choong Hann, kita perlu berani ambil risiko untuk ke Paris.

"Tiga kejohanan ini penting untuk pemain muda negara. Untuk skuad Piala Sudirman purata umur pemain adalah 22.38, Piala Thomas 22.75 dan bagi skuad Uber adalah 21.36.

"Mereka juga dipilih berdasarkan prestasi di kejohanan ranking baru-baru ini yang mana Ng Tze Yong menang semua perlawanan perseorangan lelaki, K Letshanaa menang tiga perlawanan dan Siti Nurshuhaini Azman menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan," katanya.

Skuad negara akan terlebih dahulu mengibarkan cabaran di kejohanan Piala Sudirman di Vantaa, Finland dari 26 September hingga 3 Oktober ini yang mana Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Saingan Piala Thomas/Uber pula akan berlangsung di Aarhus Denmark dari 9 hingga 17 Oktober. Skuad Piala Thomas negara diundi bersama Jepun, Kanada dan England manakala skuad wanita diundi bertemu China, Denmark dan Kanada di peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 8:01 PM