NORZA (kiri) bersalaman dengan Aaron sambil diperhatikan Wooi Yik pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Piala Thomas dan Uber di ABM, hari ini. FOTO BERNAMA
NORZA (kiri) bersalaman dengan Aaron sambil diperhatikan Wooi Yik pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Piala Thomas dan Uber di ABM, hari ini. FOTO BERNAMA
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Ganjaran lumayan menanti barisan pemain badminton sekiranya membawa pulang Piala Thomas kembali ke Malaysia nyata meniup semangat barisan pemain.

Difahamkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjanjikan ganjaran lebih RM1 juta sekiranya skuad lelaki negara muncul juara Piala Thomas sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Kapten skuad Piala Thomas negara, Soh Wooi Yik mengakui perkara itu membakar semangat dan meniup motivasi kepada pemain untuk menjuarai kejohanan berprestij itu.

Namun, Wooi Yik mengakui ia bukan tugasan mudah kerana Piala Thomas adalah acara berpasukan yang menuntut kerjasama semua pemain dan ketika ini bekas juara dunia itu tidak mahu terlalu memikirkannya.

"Ganjaran itu memang membakar semangat, tapi ia tak sama seperti kejohanan individu yang kami sering sertai. Nak dapat ganjaran itu kami perlu muncul juara.

"Kami tak berjuang untuk diri sendiri, jadi semangat sepasukan itu perlu ada dan perlu saling membantu antara satu sama lain," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad Piala Thomas/Uber di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

Namun, Yooi Yik berkata, ketika ini dia tidak mahu memikirkan perkara itu kerana perjalanan masih jauh dan perlu fokus untuk memberikan aksi terbaik.

Ditanya sama ada tugas selaku kapten pasukan memberikannya tekanan, Wooi Yik berkata, dia akan cuba melaksanakannya dengan sebaik mungkin.

"Saya akan mendapat bantuan daripada Aaron Chia dan pemain perseorangan, Lee Zii Jia bagi membantu memastikan pasukan sentiasa berada dalam mood terbaik.

"Kami bertiga sudah banyak kali bertanding di kejohanan besar dan kami boleh berkongsi pengalaman kepada rakan sepasukan terutama pemain muda," katanya.

Pada saingan Piala Thomas kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Hong Kong pada 27 April ini sebelum berdepan Algeria keesokan harinya dan bertemu Denmark pada 30 April untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 5:46 PM