JIN Wei sudah mengumumkan persaraannya. FOTO Eizairi Shamsudin
JIN Wei sudah mengumumkan persaraannya. FOTO Eizairi Shamsudin
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Tiada pertambahan pemain dalam skuad Piala Uber negara selepas juara remaja dunia sebanyak dua kali, Goh Jin Wei mengumumkan persaraannya.

Ini bermakna perjuangan skuad Piala Uber negara diteruskan dengan hanya empat pemain perseorangan wanita iaitu S Kisona, Eoon Qi Xuan, K Letshanaa dan Siti Nurshuhaini Azman yang akan menggalas cabaran bagi acara itu di Aarhus bermula dari 9 hingga 17 Oktober ini.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann yang menaruh harapan tinggi buat skuad muda negara di kejohanan berprestij itu.

"Tempat yang ditinggalkan Jin Wei tidak akan diisi pemain lain. Ini kerana pemain remaja kita yang lain juga sudah ada program masing-masing.

"Kami tidak mahu memberikan mereka tekanan dengan menyenaraikan mereka dalam skuad ini bagi membolehkan mereka memberi fokus kepada kejohanan yang sudah di aturkan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, semangat juang dan pengalaman yang dimiliki oleh beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik ditagih untuk membantu skuad muda negara ini menempuh cabaran bermula di Piala Sudirman, Piala Thomas/Uber.

Choong Hann berkata, beregu nombor satu ini menunjukkan komitmen luar biasa di dalam sesi latihan dan ia satu petanda positif buat skuad negara.

"Kekuatan mereka itu mampu untuk membakar semangat pemain muda negara. Semangat dan komitmen mereka dalam latihan sangat baik.

"Malah kejayaan mereka di Olimpik Tokyo (gangsa) membuatkan mereka lebih bersemangat dan mahu bekerja keras.

"Saya yakin mereka akan terus berusaha untuk memburu kejuaraan dan sudah pasti kami (BAM) mahu mereka meraih gelaran di kejohanan utama selepas ini," katanya.

Saingan Piala Sudirman akan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 26 September hingga 3 Oktober ini dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, England dan Mesir.

Selepas itu, barisan pemain lelaki dan wanita negara akan beraksi pula dalam kempen Piala Thomas/Uber di Aarhus, Denmark.

Di Aarhus, skuad lelaki diundi dalam Kumpulan D bersama Jepun, Kanada dan England manakala pasukan wanita akan bertemu China, Denmark dan Kanada dalam Kumpulan D.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 11:50 AM