AZIZULHASNI mahu tutup legasi di ACC dengan satu lagi kejayaan.
AZIZULHASNI mahu tutup legasi di ACC dengan satu lagi kejayaan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang tetap menganggap Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) sebagai satu kejohanan yang penting buat dirinya.

Biarpun menggenggam sepuluh emas di kejohanan peringkat Asia itu, Azizul berkata, dia mahu satu lagi gelaran juara Asia sebelum menutup kariernya sebagai pelumba basikal selepas tamatnya temasya Olimpik Paris tahun depan.

Kejohanan ACC yang akan berlangsung di Veldrom Nilai dari 14 hingga 19 Jun ini menyaksikan penampilan terakhir pelumba yang cukup dikenali dengan panggilan The Pocket Rocketman di peringkat Asia itu.

"Kejohanan ACC kali ini cukup bermakna buat saya, kerana berlangsung Malaysia dan saya mahu mempersembahkan perlumbaan terbaik untuk tontonan peminat yang hadir ke veledrom.

"Ia juga penampilan terakhir saya di ACC dan saya amat harapkan ramai penyokong tempatan memenuhi ruang veledrom kali ini," katanya.

Mula menyertai kejohanan berprestij di Asia yang turut menawarkan mata kelayakan ke Olimpik itu sejak 2007, Azizul yang juga pemenang pingat perak temasya Olimpik Tokyo dan gangsa di Olimpik Rio dalam acara keirin itu setakat ini sudah meraih 10 emas, tujuh perak dan enam gangsa.

Justeru pelumba kelahiran Terengganu itu ingin menutup legasinya di ACC dengan mencipta lagi satu kejayaan sebelum bersara.

"Saya sebenarnya mahu cabar diri saya untuk berlumba dengan pelumba ada sekarang. Terutama mereka dari China dan Jepun yang sememangnya kita tahu mereka mempunyai ramai pelumba muda berbakat.

"Jadi saya tetap akan turun memberikan yang terbaik demi negara," katanya yang menjelaskantidak merasai sebarang tekanan kerana setiap kali turun beraksi dia akan cuba untuk menikmati perlumbaan berkenaan.

Bagaimanapun Azizul menjelaskan dia hanya akan mengambil bahagian dalam acara individu iaitu keirin dan pecut.

Untuk rekod, Azizulhasni pernah memenangi dua pingat emas Sukan Asia masing-masing dalam acara keirin (2010) dan pecut (2018) selain muncul juara dunia di Kejohanan Dunia 2019 yang berlangsung di Hong Kong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 8:32 PM