Pelumba basikal Malaysia, Azizulhasni Awang ketika menyertai kejohanan lumba basikal. FOTO File NSTP
Pelumba basikal Malaysia, Azizulhasni Awang ketika menyertai kejohanan lumba basikal. FOTO File NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang kembali menguasai puncak dunia apabila berada di kedudukan satu dua dalam acara pecut dan keirin.

Berdasarkan ranking yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) semalam, Azizul kini menguasai ranking nombor satu dalam acara pecut dan berada di kedudukan kedua dalam acara kegemarannya, keirin.

Ia pasti menjadi suntikan semangat buat pelumba yang dikenali The Poketrocketman itu, lima bulan sebelum temasya Olimpik, Tokyo bermula.

Azizul mengumpul 1,600 mata untuk menguasai ranking pertama dunia dalam pecut, mengatasi atlet Jepun, Tomohiro 1,442.5 mata, Sam Webster yang meraih pingat perak di Olimpik Rio dari New Zealand (1,390 mata).

Manakala rakan senegara, Muhamad Shah Firdaus Sahrom berada di ranking ke-18 dengan 922.5 mata.

Dalam acara keirin, Azizul yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Rio itu berkedudukan tempat kedua selepas mengumpul 1,740 mata berada di belakang pelumba Colombia, Kevin Chavarro (1,790) dan juara Asia, Yuta Wakimoyo ketiga, 1,715 mata dengan Shah Firdaus di tangga 37 (635).

Azizul tidak hanya berharap dapat memperbaiki pencapaian gangsa dalam acara keirin di Rio namun jika kedudukan ranking sesuatu yang perlu dilalui, dia seharusnya berhati-hati dengan kehadiran pelumba tuan rumah, Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 2:21 PM