RAFAEL NADAL
RAFAEL NADAL
AFP

RAFAEL Nadal akan beraksi untuk merebut gelaran Grand Slam ke-19, kurang satu berbanding pencapaian sepanjang zaman Roger Federer selepas berjaya melepasi cabaran pemain Itali Matteo Berrettini hari ini dan mara ke final Terbuka AS kelimanya.

Pemain Sepanyol berusia 33 tahun itu menewaskan Berrettini 7-6 (8/6), 6-4, 6-1 di Stadium Arthur Ashe Stadium untuk perlawanan penentuan menentang pilihan kelima dari Russia Daniil Medvedev, yang menyingkirkan pemain Bulgaria Grigor Dimitrov 7-6 (7/5), 6-4, 6-3.

“Sangat gembira dapat kembali ke final Terbuka AS,” kata Nadal.

“Sesuatu yang bermakna dapat kembali di kedudukan saya sekarang selepas mengharungi detik mencbar pada awal musim.”

Nadal yang baru pulih daripada kecederaan pinggul kanan pada awal musim berjaya menjulang gelaran ke-12 Terbuka Perancis, memburu gelaran Terbuka AS, kurang satu daripada rekod era kejohanan Terbuka iaitu lima yang dikongsi bersama oleh Federer, Pete Sampras dan Jimmy Connors untuk menghampiri pencapaian Federer.

“Satu lagi peluang tiba Ahad ini,” kata Nadal.

“Saya mahu berehat sehari, berlatih dengan baik dan Ahad adalah hari untuk saya bermain dengan baik.”

Nadal yang melangkah ke final Grand Slam ke-27, menewaskan Medvedev pada final kejohanan Montreal dalam satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini.

Namun pemain nombor dua dunia itu tidak menyertai kejohanan Cincinnati yang dimenangi Medvedev pada minggu berikutnya.

“Dia salah seorang daripada pemain yang mantap dalam jelajah,” kata Nadal mengenai Medvedev.

“Dia memperbaiki pencapaiannya setiap minggu. Saya perlu bermain pada tahap terbaik.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 12:15 PM