Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri) bersama pemain Kedah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar petang tadi. FOTO Ihsan KFA
Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak (kiri) bersama pemain Kedah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar petang tadi. FOTO Ihsan KFA
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) akan mengadakan sambutan bagi meraikan pasukan Lang Merah bersama Piala FA dimenangi menewaskan Perak 1-0 dengan acara perarakan di sekitar bandar Alor Setar, esok.

Menerusi maklumat laman rasmi KFA, acara sambutan dan perarakan kejuaraaan Piala FA itu akan bermula jam 12 tengah hari hingga acara kemuncak di Dataran Wisma Darul Aman.

"Perarakan itu akan menggunakan bas 'Hop On Hop Off' bermula jam 12 tengah hari dari Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Jalan Suka Menanti.

"Bas akan melalui Lebuhraya Sambungan Sultan Abdul Halim, seterusnya menuju ke persimpangan Hospital lama Alor Setar dan terus menuju ke Jalan Bakar Bata melalui Aman Central, Dataran Bandaraya, Pekan Rabu, Kompleks Belia dan Sukan dan akhirnya dengan acara kemuncak di Dataran Wisma Darul Aman.

"Pada acara kemuncak di Dataran Wisma Darul Aman, skuad Lang Merah akan disambut oleh Presiden KFA Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Menteri Besar Kedah.

"Skuad Lang Merah tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) jam 4 petang tadi.

Ketibaan pasukan disambut petugas serta penyokong yang hadir melihat sendiri piala itu.

Kejuaraan Piala FA 2019 itu adalah kejuaraan kali kelima buat skuad Lang Merah selepas muncul juara sebelum ini pada 1996, 2007, 2008 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 9:31 PM