KENYATAAN palsu akaun Facebook milik Azrul Rizla. FOTO/FAIL
KENYATAAN palsu akaun Facebook milik Azrul Rizla. FOTO/FAIL
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) kesal terhadap kenyataan palsu disebarkan individu di laman sosial yang menggunakan nama dan logo persatuan berkenaan serta nama orang kenamaan Negeri Kedah Darul Aman.

Dalam kenyataan rasmi dikeluarkan Jawatankuasa dan Perhubungan Media KFA di laman sosial Facebook semalam, mereka mendapati paparan maklumat palsu itu dilakukan seorang individu tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama Raja Muda Kedah dan Tunku Laksamana Kedah bagi tujuan tertentu.

Paparan kenyataan dengan imej seorang lelaki yang dipercayai penyokong Kedah melalui akaun Facebook bernama Azrul Rizla ini menggunakan logo KFA beserta beberapa logo penaja pasukan dengan mesej 'Keputusan Pengendali Baru Lang Merah untuk musim 2019'.

Dalam grafik dipaparkan di laman Facebook itu juga kelihatan tajuk 'Keyataan Media' yang meminta peminat bersabar berkaitan keputusan KFA untuk menentukan pengendali Lang Merah bagi musim 2019.

KFA berasa kesal dengan penyalahgunaan nama dan gambar dipaparkan yang jelas tidak bermoral dan mengelirukan, kononnya kenyataan itu dikeluarkan secara rasmi melalui Jawatankuasa dan Perhubungan Media KFA.

Sehubungan itu, KFA mahu individu yang memuat naik kenyataan itu supaya memohon maaf secara terbuka dan sebagai menjaga kredibiliti KFA dan nama baik semua pihak terutama Raja Muda Kedah dan Tunku Laksamana Kedah.

Kenyataan KFA ini juga memaklumkan mereka akan membuat laporan polis hari ini (Isnin) terhadap individu tidak bertanggungjawab itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 1:03 PM