AHMAD Bashah  (tengah) ketika menyambut kepulangan pemain  dan pengurusan pasukan Kedah di  Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, semalam.
AHMAD Bashah (tengah) ketika menyambut kepulangan pemain dan pengurusan pasukan Kedah di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, semalam.

Alor Setar: Kerajaan negeri akan memberi tiket percuma kepada penyokong skuad Helang Merah untuk menyaksikan perlawanan pertama pasukan itu pada saingan Liga Super musim depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika mengumumkan pemberian berkenaan berkata, tiket percuma itu sebagai tanda penghargaan Persatuan Bolasepak Negeri Kedah (KFA) kepada peminat yang setia bersama pasukan sepanjang musim ini.

Katanya, pihaknya berharap mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Kedah, malah semangat sama perlu diterapkan dalam semua jenis sukan.

“Tiket percuma ini akan diberikan untuk perlawanan pertama Kedah dalam saingan liga musim depan sebagai menghargai sokongan berterusan yang ditunjukkan penyokong setia.

“Kita berharap sokongan ini berterusan dan kita minta agar semangat seperti ini dapat diterapkan dalam jiwa mereka bukan saja untuk sukan bola sepak, tetapi juga sukan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Juara TM Piala Malaysia 2016 di Stadium Darul Aman, di sini, semalam.

Ahmad Bashah yang juga Presiden KFA sebelum ini pernah memberikan tiket percuma kepada penyokong pasukan bola sepak di negeri itu pada awal tahun ini selepas Kedah berjaya menjadi juara Liga Perdana 2015.

Sebelum itu, kepulangan skuad Kedah yang tiba jam 4.30 petang disambut hampir 5,000 penyokong Hijau Kuning yang setia menunggu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas.

Skuad kemudian diarak menaiki bas dua tingkat tanpa bumbung menuju ke Stadium Darul Aman yang terletak kira-kira 12 kilometer dari lapangan terbang.

Perarakan yang berlangsung hampir 30 minit itu juga mengakibatkan Lebuh Raya Darul Aman mengalami kesesakan lalu lintas kerana penyokong setia pasukan Helang Merah berpusu-pusu berada di sekitar jalan raya bagi menyaksikan wira mereka yang berjaya membawa pulang piala kebanggaan seluruh rakyat Malaysia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 9:59 AM