GELAGAT penyokong kedah dan JDT di perkarangan Stadium Shah Alam menjelang perlawanan Akhir Piala Malaysia. Foto File
GELAGAT penyokong kedah dan JDT di perkarangan Stadium Shah Alam menjelang perlawanan Akhir Piala Malaysia. Foto File
Izzali Ismail

DEMI peminat setia skuad Helang Merah yang mahukan jaminan tiket, Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan memperkenalkan kad keahlian khas ‘KFA Priority Members’ (KPM) yang akan mula dijual pada 7 Januari ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Tiket dan Pintu Masuk KFA, Shaharol Niza Omar, kad berteknologi tinggi dengan Kod QR itu boleh dibeli dengan harga RM50 setiap satu di pejabat KFA dan ditawarkan untuk 5,000 ahli saja.

“Kad KPM ini adalah satu alternatif kepada peminat setia Kedah dan jaminan untuk ahli mendapatkan tiket perlawanan skuad Helang Merah di Stadium Darul Aman.

“Lebih menarik, 500 ahli pertama layak masuk secara percuma untuk perlawanan pertama di Stadium Darul Aman pada musim ini dan juga semua perlawanan membabitkan Piala Belia dan Piala Presiden di sini.

“Pemegang keahlian juga mendapat jaminan membeli tiket di Stadium Darul Aman bagi perlawanan pusingan kedua liga super, semua perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia serta semua pertandingan suku akhir, separuh akhir dan akhir yang membabitkan Kedah,” katanya.

Shaharol Niza juga memaklumkan setiap pemegang kad layak membeli sekeping tiket saja di kaunter ditetapkan dan bagi penyokong yang mahu berurusan secara dalam talian, pihaknya akan membuka pendaftaran selepas ini dan setiap permohonan dikenakan bayaran proses sebanyak RM3.

“KFA akan membuka kaunter khas untuk pemegang kad ini dan ini satu peluang untuk peminat setia yang mahu mendapatkan tiket. Selain kemudahan itu, kami juga sedang mengusahakan kemudahan lain daripada pihak penaja yang sentiasa memberi sokong kepada penyokong.

“Selain Kad KPM, KFA juga akan mempromosikan Pas Bermusim Platinum (tempat duduk bernombor) di kawasan Astaka Utama berharga RM1,200, Pas Bermusim ‘Free Seating’ (tempat duduk bebas) berharga RM800, berbumbung RM500 dan terbuka berharga RM300,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 7:25 PM