LATIF menang emas Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur dua tahun lalu. — FOTO Osman Adnan
LATIF menang emas Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur dua tahun lalu. — FOTO Osman Adnan
BERNAMA

ATLET para negara, Abdul Latif Romly menyasarkan untuk mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, November depan.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu yang melakar rekod dunia dengan jarak 7.64 meter pada Sukan Asia 2018, bagaimanapun tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada dirinya untuk memperbaiki jarak lompatan kerana baru pulih daripada kecederaan hamstring.

“Catatan terbaik saya musim ini adalah 7.49m pada Terbuka Thailand baru-baru ini, jadi saya kena lakukan lompatan lebih 7.6m sekiranya saya mahu mempertahankan emas sekali gus melakar emas hatrik sejak 2017.

“Saya yakin mampu pertahankan kejuaraan dunia kerana jurulatih (Syahrul Amri Suhaimi) berpendapat saya hanya perlu perbaiki teknik lompatan sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Olahragawan Kebangsaan 2016 itu mengakui peluangnya untuk menyertai Sukan SEA di Filipina, November ini mungkin sukar kerana perlu melepasi had kelayakan 7.75m, namun bertekad cuba mengatasi catatan itu.

Anak jati Perlis itu pernah beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 namun gagal meraih kedudukan podium.

“Mungkin sukar tapi saya akan cuba memandangkan saya sudah melakukan 7.49m musim ini. Jika tidak berjaya, saya akan memberi tumpuan kepada Sukan Para ASEAN 2019,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 9:28 PM