Latif menang emas Sukan Para Asean
Latif menang emas Sukan Para Asean
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly mahu terus mengharumkan nama negara dengan menghadiahkan sebutir lagi pingat emas di temasya Paralimpik Tokyo kali ini.

Dia yang akan berlepas ke Tokyo pada 21 Ogos ini dalam misi mempertahankan emas yang diraihnya ketika Paralimpik Rio berkata, dia sudah bersedia untuk 'terbang' lebih tinggi.

Semangatnya untuk berjuang cukup tinggi dan berasa gembira apabila bebas daripada sebarang kecederaan bagi membolehkan dia memberi komitmen 100 peratus di Tokyo nanti.

Ditanya adakah berada dalam keadaan tekanan apabila diletakkan sebagai sasaran emas, Latif berkata, dia dapat menangani perkara itu.

"Saya tak ada rasa tekanan sebab memang saya pergi sana, saya mahukan emas.

"Saya ada sasaran saya sendiri. Kita kena ada keyakinan untuk mendapatkan apa yang kita inginkan.

"Jadi sekarang ini saya sudah bersedia untuk berikan yang terbaik biarpun ada rasa sedikit berdebar cuma perkara itu masih boleh dikawal," katanya.

Kali terakhir atlet kelahiran Perlis itu beraksi adalah ketika di Kejohanan Para Dunia di Dubai pada 2019 yang mana menyaksikan Latif yang beraksi dalam kategori T20 meraih perak dengan jarak lompatan 7.24 meter (m).

Dia tewas kepada atlet Belanda, Ranki Oberoi 7.39m untuk emas manakala gangsa milik atlet Ecuador, Rpberto Carlos Chala 6.88m.

Pada sesi kejohanan simulasi yang sebelum ini, Latif, 24, berjaya melakukan jarak lompatan lebih baik iaitu 7.68m.

Ia memberi gambaran jelas betapa, dia mampu untuk terbang lebih tinggi seterusnya menghadiahkan kilauan emas buat keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakangnya dan juga kepada negara.

Pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64 meter dalam acara lompat jauh melangkah 0.04 meter lebih jauh dari catatan lamanya pada Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 9:20 PM