AHMAD Faizal (tengah) bersama pemain Perak yang menerima surat tawaran tapak kediaman selepas memenangi Piala Malaysia 2018. — FOTO Muhaizan Yahya
AHMAD Faizal (tengah) bersama pemain Perak yang menerima surat tawaran tapak kediaman selepas memenangi Piala Malaysia 2018. — FOTO Muhaizan Yahya
BERNAMA

SERAMAI 39 pemain dan pegawai skuad bola sepak Perak menerima lot tapak kediaman di mukim Hulu Kinta, Ipoh susulan kejayaan menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insentif itu adalah penghargaan kerajaan negeri susulan kejayaan skuad itu membawa pulang trofi selepas kali terakhir pada 2000.

“Pihak berkuasa negeri melalui perjumpaan majlis mesyuarat kerajaan pada 8 Mei lalu meluluskan satu lot tapak kediaman kepada mereka yang terbabit.

“Dengan itu, apa yang kami janjikan kepada pemain yang membawa pulang Piala Malaysia tahun lalu, janji itu sudah dilaksana,” katanya pada majlis berbuka puasa Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) di Laman Seri Ridzuan, malam tadi.

AHMAD Faizal (kanan) bercakap dengan pemain Perak pada majlis berbuka puasa PAFA di Laman Seri Ridzuan, Ipoh. — FOTO Muhaizan Yahya
AHMAD Faizal (kanan) bercakap dengan pemain Perak pada majlis berbuka puasa PAFA di Laman Seri Ridzuan, Ipoh. — FOTO Muhaizan Yahya

Perak memenangi Piala Malaysia 2018 selepas menewaskan Terengganu FC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, 28 Oktober lalu.

Ahmad Faizal yang juga Presiden PAFA berkata, mereka berharap setiap pemain akan berusaha bersungguh-sungguh, khususnya dalam memperbaiki kedudukan skuad The Bos Gaurus dalam Liga Super musim ini.

“Saya agak kecewa dengan reputasi kami selaku juara Piala Malaysia tahun lalu, kami agak tertekan musim ini dalam mengharungi Liga Super. Saya harap pemain akan berusaha bersungguh-sungguh sekali gus memenangi baki perlawanan,” katanya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, insentif itu satu hadiah istimewa buat pasukan, selepas kejayaan membawa pulang piala yang dianggap amat berprestij di mata peminat bola sepak negara ini.

Katanya, ia juga menyuntik semangat pemain untuk berusaha lebih keras bagi mengharumkan nama Perak dalam arena bola sepak tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 11:04 AM