AHMAD Faizal (kiri) mahu PAFA fokus bawa kejayaan lagi. FOTO/NSTP
AHMAD Faizal (kiri) mahu PAFA fokus bawa kejayaan lagi. FOTO/NSTP
Shaarani Ismail


IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan skuad Perak jangan terlalu bergantung soal siapa yang akan menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), sebaliknya perlu terus fokus dalam membawa kejayaan kepada negeri ini.

Menurutnya lagi, apa yang perlu sekarang ini adalah meneruskan segala usaha dan nilai yang baik dalam The Bos Gaurus.

"Kita perlu tanam nilai yang baik dalam kalangan pemain supaya ia dicontohi oleh anak muda yang turut meminati sukan bola sepak.

"Itu sebenarnya fokus kita. Sesiapa sahaja boleh menjadi Presiden PAFA asalkan yang dipilih nanti akan fokus kepada perkara yang kita nak bawa dalam pasukan dan nilai sukan untuk membina masyarakat, itu yang perlu dititik beratkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan PAFA yang menolak surat peletakan jawatan Presiden PAFA, Hasul Zulkarnain Abdul Munaim, Selasa lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan barisan EXCO PAFA dalam jangka masa terdekat bagi membincangkan status peletakan jawatan Hasnul.

"Saya kena jumpa dengan semua EXCO PAFA untuk mendapatkan pandangan. 

"Saya juga mendengar pandangan daripada orang ramai dan memantau pendapat peminat bola sepak Perak, nampaknya isu bola sepak di Perak ni sudah jadi macam permainan politik. 

"Saya fikir semua sedia maklum saya tak berminat terlalu banyak bermain politik, fokus saya adalah untuk mengekalkan momentum kejayaan pasukan," katanya.

Ahmad Faizal berkata, apa yang penting bagi pasukan Perak ketika ini adalah mengekalkan momentum kemenangan The Bos Gaurus khususnya dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan bukannya terlalu banyak berpolitik.

Katanya, beliau yakin Hasnul akan membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan bola sepak Perak. 

"Ini bukan mengenai kepentingan beliau, bukan mengenai kepentingan saya, apa yang penting fokus kepada bawa lebih kejayaan kepada pasukan bola sepak Perak. 

"Sebagai contoh tak semestinya kalau saya jadi presiden, saya boleh bawa kejayaan hingga ke peringkat Asia. Ini bukan soal siapa jadi presiden tapi yang penting bagaimana nak kekalkan momentum kejayaan," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 3:08 PM