Faizal mahu Perak bermain bersungguh-sungguh menentang Kedah. FOTO fail NSTP
Faizal mahu Perak bermain bersungguh-sungguh menentang Kedah. FOTO fail NSTP
Shaarani Ismail


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, The Bos Gaurus tidak akan beri peluang kepada Kedah pada Final Piala FA yang akan berlangsung 27 Julai ini dan mahu ia berlangsung dengan penuh semangat kesukanan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) itu berkata, meskipun pasukan yang akan ditentang itu adalah pasukan diterajui sahabat baiknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beliau akan memastikan Perak bermain bermati-matian dan menunjukkan aksi sehabis baik pada final itu.

"Walaupun bersahabat baik (dengan Mukhriz), saya akan pastikan Perak lawan habis-habisan dengan Kedah dengan penuh semangat kesukanan.

"Kita akan terjemahkan persahabatan antara Presiden PAFA dengan Presiden KAFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) bahawa sukan adalah untuk menyatupadukan, bukan memecahbelahkan.

"Walaupun kita akan bermain bersungguh-sungguh mencari kemenangan kepada pihak masing-masing, tetapi ia perlu dibuat dengan semangat kesukanan supaya ia dapat dipastikan sukan lebih gemilang dan rakyat seronok," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking di Ipoh, hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, PAFA juga sedang merangka jalan terbaik bagaimana untuk mengagihkan 30,000 tiket yang diperuntukkan kepada penyokong Perak untuk menyaksikan Final Piala FA itu.

Beliau berkata, pastinya ada penyokong yang akan kecewa kerana tidak dapat memiliki tiket final, bagaimanapun kerajaan negeri akan memastikan sokongan padu penyokong Perak akan terus diterjemahkan dengan menyediakan skrin tayangan besar di seluruh daerah dalam memeriahkan suasana.

"Kita perlu rancang perkara yang boleh menimbulkan semangat kepada penyokong bola sepak Perak dan saya mohon persatuan gabungan PAFA akan membabitkan penyertaan anak kecil supaya mereka kembali seronok dengan cara kita (menyokong dan menonton) final.

"Seronok bersukan dan bukan semata-mata fanatik hingga sanggup bergaduh dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2019 @ 5:09 PM