AHMAD Faizal berucap pada Program Bicara Legasi #Saving Legacy Peringkat Negeri Perak di  kediaman Lama Menteri Besar. FOTO/L. MANIMARAN
AHMAD Faizal berucap pada Program Bicara Legasi #Saving Legacy Peringkat Negeri Perak di kediaman Lama Menteri Besar. FOTO/L. MANIMARAN
Shamsul Kamal Amarudin

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu mengadakan pertemuan dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) secepat mungkin bagi membincangkan pemberian insentif kerajaan negeri yang diumumkan semalam.

"Saya akan jumpa pengurusan PAFA, kami mahu segera berikan insentif itu. Kita kerajaan berteraskan al-Quran, bila sudah berjanji, kena beri cepat," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri program Bicara Legasi #Saving Legacy Peringkat Negeri Perak di kediaman lama Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Semalam, kerajaan negeri mengumumkan insentif RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak susulan kejayaan menjuarai Piala Malaysia, baru-baru ini.

Ahmad Faizal dilaporkan berkata, insentif itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai kesemua pemain dan pegawai pasukan bola sepak itu yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun.

Beliau dipetik sebagai berkata, insentif itu tidak termasuk  yang diberikan  PAFA dan hadiah wang kemenangan yang diberikan  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pengumuman itu dibuat  Ahmad Faizal selepas Majlis Meraikan Piala Malaysia dan Piala Razak di Dataran Pavilion di Kuala Kangsar semalam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenaan meraikannya bersama pemain serta pegawai pasukan bola sepak dan hoki Perak.

Pasukan bola sepak Perak yang dikenali sebagai ‘The Bos Gaurus’ berjaya menamatkan kemarau 18 tahun dengan menumpaskan Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 27 Oktober lalu menerusi sepakan penalti 4-1 selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Ditanya mengenai kedudukan PAFA selepas Presidennya, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim meletakkan jawatan, Ahmad Faizal berkata pengurusan persatuan itu belum berjumpa dengannya bagi membincangkan keadaan itu.

"(Bagaimanapun) Saya ingat tiada masalah kerana mereka (PAFA) mempunyai timbalan dan naib presiden yang boleh memangku jawatan itu," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 November 2018 @ 4:16 PM