MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima, kanan) selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, di sini hari ini. FOTO Bernama.
MENTERI Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (lima, kanan) selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, di sini hari ini. FOTO Bernama.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

TAIPING: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan khabar angin skuad Perak yang menjulang gelaran Piala Malaysia tahun lalu masih belum mendapat ganjaran dijanjikan.

Jelas beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), kecuali ganjaran tanah, imbuhan yang lain sudah pun diterima skuad berkenaan.

"Setahu saya, hanya isu tanah sahaja yang masih berhutang dan belum diselesaikan.

"Hal ini kerana ia mengambil sedikit masa dan saya beri jaminan sudah tentu akan dapat tanah yang kerajaan negeri janjikan kepada pemain selepas usaha mereka merangkul kejuaraan Piala Malaysia tahun lalu," katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Program Lestari Komuniti dan Alam Sekitar Kampung Dew, di sini hari ini.

Menurutnya, laporan di media sosial yang mendakwa gaji pemain masih belum diterima juga adalah tidak benar.

"Kecoh apabila terdapat laporan di media sosial yang mendakwa gaji pemain tak jalan.

"Ada pihak yang laporkan pada saya mengenai dakwaan isteri salah seorang pemain Perak yang meminta duit pada suaminya dan pemain itu memaklumkan gaji belum diterima.

"Itu yang kecoh, tapi hakikatya dia (pemain) tak nak beri duit pada isterinya," katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan insentif RM10,000 dan satu lot tapak rumah kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bola sepak Perak selepas kejayaan memenangi Piala Malaysia.

Ahmad Faizal berkata, insentif itu adalah inisiatif kerajaan negeri bagi menghargai semua pemain dan pegawai pasukan bola sepak itu yang berjaya membawa pulang Piala Malaysia selepas 18 tahun dan ia tidak termasuk yang diberikan PAFA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 6:30 PM