PEMAIN Liverpool meraikan jaringan Firmino. -Foto AFP
PEMAIN Liverpool meraikan jaringan Firmino. -Foto AFP
AFP

LIVERPOOL menghampiri aksi separuh akhir Liga Juara-Juara untuk berdepan sama ada Barcelona atau Manchester United selepas menewaskan Porto 2-0 pada perlawanan pertama suku akhir di Anfield.

Berbanding jaringan saat akhir yang banyak membantu kempen skuad Reds pada Liga Perdana Inggeris kebelakangan ini, mereka tidak menunggu lama apabila Naby Keita dan Roberto Firmino meledak gol dalam tempoh 26 minit pertama.

“Keputusan 2-0 adalah sesuatu yang baik, saya menerimanya sebelum perlawanan dan begitu juga sekarang,” kata pengendalinya, Juergen Klopp.

“Ia perlawanan yang baik dan terkawal. Kami berhak menang 100 peratus dan menjaringkan dua gol hebat.”

Satu-satunya perkara yang mungkin dikesali Liverpool adalah tidak mencatat kemenangan lebih besar di laman sendiri sebagai bekal ke Portugal untuk aksi kedua.

Bagaimanapun dengan empat perlawanan tanpa bolos daripada lima perlawanan Liga Juara-Juara musim ini bermakna Porto perlu empat gol untuk mara jika Liverpool menjaringkan satu gol di Estadio do Dragao 17 April ini.

“Kami perlu ke sana, kami perlu berjuang. Porto akan lakukan apa saja untuk bangkit tetapi itulah yang berlaku pada suku akhir Liga Juara-Juara,” kata Klopp.

Liverpool membelasah kelab gergasi Portugal itu 5-0 pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir musim lalu dan jaringan itu pastinya memalukan anak buah Sergio Conceicao kali ini jika tuan rumah lebih garang di depan gawang.

Pasukan tuan rumah hanya memerlukan lima minit untuk gol pertama menerusi Keita yang perlu menunggu sehingga sembilan bulan untuk membuka akaun jaringannya di Liverpool.

Jordan Henderson, dengan tugas tambahan di bahagian tengah berbanding kebiasaannya, merobek pertahanan lawan bagi membolehkan Firmino menjaringkan gol kedua.

“Hendo adalah pemain yang bijak dan saya gembira dia dapat membuktikannya sekali lagi,” kata Klopp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 9:02 AM