FIRMINO (kiri) ledak gol kemenangan Reds. FOTO AFP
FIRMINO (kiri) ledak gol kemenangan Reds. FOTO AFP
AFP

JUERGEN Klopp menganggap kemenangan Piala Dunia Kelab sebagai sesuatu yang sensasi selepas jaringan masa tambahan Roberto Firmino membolehkan Liverpool menewaskan Flamengo 1-0 pada aksi final di Doha awal pagi tadi dan menjulang piala itu buat kali pertama.

Firmino menerima hantaran Sadio Mane dan berjaya mengumpan Diego Alves sebelum melakukan rembatan rendah pada minit ke-99 dalam aksi seimbang di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Ia detik yang akhirnya menamatkan impian kelab Brazil itu dan sokongan hebat peminat mereka, selepas penalti Liverpool pada akhir masa perlawanan sebenar dibatalkan VAR.

Pengadil Qatar pada mulanya memberi sepakan penalti selepas Mane dijatuhkan Rafinha, namun kemudian mengubah keputusannya dalam tempoh yang lama, memaksa perlawanan dilanjutkan selama 30 minit lagi.

Begitupun juara Eropah itu masih berupaya menguasai perlawanan apabila Firmino mengulangi aksi hebatnya pada separuh akhir sewaktu meledak gol pada masa tambahan ke atas kelab Mexico, Monterrey.

“Saya berbangga dengannya kerana dia mampu menjaringkan gol itu kerana sebelum perlawanan itu, kami banyak bercakap mengenai betapa pentingnya kejohanan itu kepada Amerika Selatan terutama rakyat Brazil,” kata Klopp.

“Ia bermakna segala-galanya baginya, ia membantu kami dan paling penting ia jaringan yang sensasi.”

Kemenangan itu melengkapkan tahun menakjubkan buat Liverpool dengan trofi ketiga selepas Liga Juara-Juara dan Piala Super UEFA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Disember 2019 @ 8:31 AM