SALAH mengalami konkusi ketika menang 3-2 ke atas Newcastle Sabtu lalu.
SALAH mengalami konkusi ketika menang 3-2 ke atas Newcastle Sabtu lalu.
AFP

LIVERPOOL akan beraksi tanpa kelibat penjaring terbanyak Mohamed Salah untuk perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Barcelona awal pagi Rabu ini selepas pengurus kelab, Juergen Klopp mendedahkan pemain itu mengalami konkusi ketika menang 3-2 ke atas Newcastle Sabtu lalu.

Pemain Mesir itu diusung keluar dari St James’ Park apabila kepalanya terhantuk ketika cuba merebut bola tinggi dengan penjaga gol Newcastle Martin Dubravka.

“Ia adalah konkusi jadi ini bermakna dia tidak dibenarkan bermain. Jadi begitulah,” kata Klopp pada sidang media pra-perlawanan hari ini.

“Dia berasa OK tetapi tidak cukup bagus dari pandangan pihak perubatan. Dia teringin untuk bermain semua perlawanan tetapi kami tidak membenarkannya.”

Klopp juga tidak akan menurunkan penyerang Brazil Roberto Firmino akibat kecederaan pangkal paha ketika skuadnya berdepan cabaran getir cuba mengatasi defisit 0-3 pada perlawanan pertama untuk mara ke final Liga Juara-Juara untuk tahun kedua berturut-turut.

“Dua daripada penyerang terbaik dunia tidak akan bermain malam esok dan kami perlu menyumbat empat gol ke atas Barcelona untuk mara dalam tempoh 90 minit,” kata Klopp.

“Ia tidak menjadikan hidup lebih mudah tetapi selagi kami masih mempunyai 11 pemain di padang, kami akan cuba.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 8:22 PM