IMEJ bangkai pesawat  dinaiki Sala terdampar di dasar Selat Inggeris berhampiran Guernsey.
IMEJ bangkai pesawat dinaiki Sala terdampar di dasar Selat Inggeris berhampiran Guernsey.
AFP

LONDON: Penyiasat nahas British melancarkan operasi untuk membawa keluar mayat daripada bangkai pesawat membawa pemain bola sepak Argentina, Emiliano Sala di Selat Inggeris.

"Kami sedang cuba mengeluarkan mayat itu. Sekiranya berjaya, kami akan mempertimbangkan untuk mengangkat bangkai pesawat itu pula," kata jurucakap Cawangan Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dalam satu kenyataan.

Pesawat ringan yang membawa pemain bola sepak berusia 28 tahun itu dan juruterbang David Ibbotson ke pasukan baharunya di Liga Perdana Inggeris, Cardiff City tidak dapat dikesan berhampiran pulau Guernsey, pada 21 Januari lalu.

Operasi mencari serpihan bangkai pesawat yang diupah keluarga Sala dengan bantuan bintang bola sepak seperti Lionel Messi menemui bangkai pesawat berkenaan pada Ahad lalu.

AAIB kemudiannya mengambil tugas operasi berkenaan. Pada Isnin, mereka mendedahkan satu mayat yang tidak dikenali dikesan di kawasan berkenaan.

Namun mereka menegaskan keadaan pasang surut air yang kuat 'bermakna kami hanya boleh menggunakan kenderaan yang menggunakan alat kawalan jarak jauh (ROV) untuk tempoh terhad pada setiap hari'.

"Atas keputusan itu, kami tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut sehingga pihak keluarga dimaklumkan," katanya.

Pencari bangkai pesawat, David Mearns sebelum ini menegaskan yang 'masa adalah sesuatu yang utama' dalam operasi bawah air seperti yang pernah dilakukan Britain di luar perairan utara Perancis.

"Seperti mana tragisnya kehilangan ini, ia menjadi terlalu buruk sekiranya mayat tidak dapat ditemui ataupun (keluarga) tidak mendapat sebarang jawapan daripada apa yang berlaku," kata Mearns.

"Mencari adalah langkah permulaan. AAIB perlu menyiasatnya."

Sala menaiki pesawat untuk menyertai Cardiff dari pasukan lamanya di Perancis, Nantes.

Sala adalah pemain paling mahal yang pernah dibeli Cardiff dalam sejarah kelab dari Wales itu dan menjadi harapan peminat untuk membantu pasukan kekal dalam liga tertinggi Inggeris itu musim depan.

"Tidak ada lagi harapan," kata ayah Emiliano, Horacio Sala. "Kami berharap dua mayat ini ditemui (di dalam pesawat). Ia sudah berakhir, apa yang diharapkan, mereka dapat menemui mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Februari 2019 @ 11:20 AM