PENGURUSAN FELDA United FC akan mengadakan perjumpaan bersama semua pemain minggu ini. FOTO/NSTP
PENGURUSAN FELDA United FC akan mengadakan perjumpaan bersama semua pemain minggu ini. FOTO/NSTP
Asrol Awang


KUANTAN: Pengurusan FELDA United FC akan mengadakan perjumpaan bersama semua pemain minggu ini untuk membincangkan kedudukan mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan. 

Pengurus skuad The Fighters, Mohd Nasir Embong berkata, majlis perjumpaan itu akan diadakan di Institut Semarak FELDA, Bangi, Selangor. 

"Semua pemain FELDA United musim ini dipanggil untuk membincangkan status mereka sama ada kekal bersama kelab atau tidak.  Bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung status pemain akan diumumkan oleh pengurusan tertinggi FELDA United," katanya ketika dihubungi, hari ini. 

Musim ini, FELDA United yang beraksi dalam saingan Liga Perdana muncul juara sekali gus melayakkan mereka kembali ke Liga Super musim 2019. 

Antara pemain berpengalaman yang menyarung jersi kelab itu adalah Shukor Adan selaku kapten, Syamim Yahya, Wan Zack Haikal Wan Noor, Christie Jayaseelan dan Farizal Harun. 

Difahamkan, perjumpaan itu hanya membincangkan kedudukan  pemain dan tiada kata putus berhubung jurulatih baharu yang akan mengendalikan kelab itu musim depan selepas B Stathianathan  tidak lagi bersama The Fighters. 

Baru-baru ini, Sathianathan mengucapkan selamat tinggal kepada FELDA United kerana tidak berpuas hati dengan pemotongan gaji sehingga 60 peratus. 

Jelas Sathianathan, penstrukturan kewangan yang menyaksikan pemotongan besar terhadap gajinya tidak boleh diterima ketika beliau begitu cemerlang memimpin pasukan itu sepanjang musim ini dengan menjuarai Liga Perdana. 

"Mesyuarat bersama pihak pengurusan, mereka mahu memotong 60 peratus daripada gaji saya yang diterima ketika ini. Kalau 10 peratus atau 15 peratus saya boleh terima lagi," kata Sathianathan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 1:11 PM