SATHIANATHAN mahu latih pasukan bercita-cita tinggi. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
SATHIANATHAN mahu latih pasukan bercita-cita tinggi. FOTO Muhd Asyraf Sawal.
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: “Kelab Liga Perdana sekalipun, saya tak kisah asalkan mereka bercita-cita besar,” kata B Sathianathan.

Sathianathan yang kini tidak mempunyai kelab untuk dikendalikan selepas mengambil keputusan meninggalkan FELDA United mengakui tidak berdepan masalah untuk menerajui kelab divisyen dua, namun ia tetap bersyarat.

“Bagi saya, ia bukan masalah gaji kerana saya lebih suka melihat kepada cita-cita sesuatu pasukan itu. Jika kelab Liga Perdana sekalipun berminat, saya sedia mempertimbangkan tawaran mereka.

“Cuma, pasukan itu perlu serius dan meletakkan sasaran untuk beraksi di Liga Super. Pada aspek ini, saya ada rekod baik kerana pernah membawa ATM dan FELDA United kembali ke Liga Super.

“Jika mereka bercita-cita tinggi, saya boleh lakukan apa yang pasukan itu mahukan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasinya ketika ini, Sathianathan menegaskan masih lagi mahu meneruskan kariernya dalam bidang kejurulatihan.

“Sudah tentu saya masih berminat untuk menjadi jurulatih. Saya bukannya bersara cuma menunggu mana-mana pasukan yang mahu mengadakan perbincangan dengan saya.

“Lebih cepat diselesaikan, lebih baik kerana saya sebenarnya tidak mahu sekadar goyang kaki di rumah,” katanya.

Terdahulu, pemotongan gaji sehingga 60 peratus memaksa bekas jurulatih skuad kebangsaan itu mengucapkan selamat tinggal kepada FELDA United pada musim hadapan.

Pencapaian pada musim ini menyaksikan Sathianathan berjaya membawa kembali skuad The Fighters itu kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan selepas ‘diturunkan pangkat’ susulan kegagalan mendapatkan lesen Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 6:51 PM