VIVIAN dan Cheng Wen berjaya lunas dendam.
VIVIAN dan Cheng Wen berjaya lunas dendam.
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen berjaya melunaskan dendam ke atas pasangan Hong Kong, Ng Tsz Yau-Yuen Sin Yin 21-11, 21-13 pada suku akhir Terbuka Macau, hari ini.

Pasangan ke-75 dunia itu sebelum ini tewas kepada beregu itu pada final Terbuka Hyderabad, September lalu.

Kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Macau kali ini pencapaian terbaik buat Vivian-Cheng Wen yang mula digandingkan sejak dua bulan lalu.

Walaupun muncul naib juara Terbuka Hyderabad tetapi ia hanya kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 100 berbanding Terbuka Macau yang diikiraf sebagai Super 300.

“Sudah pasti kami gembira kerana ini kali pertama kami mara ke separuh akhir acara Super 300.

“Pada perlawanan hari ini, kami bermain lebih sabar. Kami tewas kepada beregu Hong Kong itu di Hyderabad, kami belajar daripada pengalaman dan cuba tidak mengulangi kesilapan sama,” kata Vivian ketika dihubungi, hari ini.

Mereka akan menentang pasangan Jepun yang juga pilihan keempat, Nami Matsuyama-Chiharu Shida bagi perebutan tempat ke final, esok.

“Ia pastinya perlawanan yang sukar buat kami esok tapi kami tidak akan menyerah kalah begitu saja. Kami berjanji akan memberikan aksi terbaik,” kata Vivian yang bergandingan dengan Cheng Wen selepas pasangannya, Woon Khe Wei terpaksa berehat panjang susulan kecederaan lutut.

Kejayaan Vivian ke separuh akhir turut diringi adiknya, Hoo Pang Ron yang beraksi dalam acara beregu campuran apabila dia dan gandingannya, Cheah Yee See melakar kemenangan ke atas Ronald Ronald-Annisa Saufika dari Indonesia 21-16, 21-6.

Pang Ron-Yee See akan bertemu pilihan pertama kejohanan dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet untuk perebutan tempat ke final, esok.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi perseorangan wanita negara, Soniia Cheah dan beregu lelaki profesional, Arif Latif-Nur Azriyn Ayub apabila tersingkir pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 November 2018 @ 8:09 PM