PANG Ron memutuskan untuk memberi giveaway sebagai tanda penghargaan kepada lima pemenang bertuah. FOTO Ihsa Persekutuan Badminton Dunia
PANG Ron memutuskan untuk memberi giveaway sebagai tanda penghargaan kepada lima pemenang bertuah. FOTO Ihsa Persekutuan Badminton Dunia
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran negara Hoo Pang Ron menghargai peminat dan warganet yang menyokongnya selama ini dengan menawarkan beberapa hadiah menarik menerusi satu peraduan giveaway di laman sosial.

Pang Ron, 23, yang berganding dengan Cheah Yee See pada kejohanan antarabangsa, menjanjikan satu jersi kejohanan serta empat penutup raket dengan tandatangannya kepada lima pemenang bertuah.

"Seperti yang saya janjikan sebelum ini saya akan melakukan giveaway. Terima kasih kerana sering memberikan sokongan sepanjang karier badminton saya.

"Jadi saya memutuskan untuk memberi giveaway sebagai tanda penghargaan kepada lima pemenang bertuah," katanya menerusi perkongsian di laman Instagram.

Pang Ron berkata, untuk menyertainya, peminat dan warganet bagaimanapun perlu mengikuti @hoopangron di Instagram dan melanggan saluran YouTube HooPangRon, like dan kongsikan hantarannya itu serta tag tiga rakan anda (lebih banyak tag lebih besar peluang untuk menang).

Pemain berasal dari Kuala Lumpur itu, yang juga adik pemain beregu wanita Vivian Hoo berkata, tarikh tutup bagi peraduan giveaway itu adalah pada 9 Mac ini.

Pang Ron, yang menjuarai Terbuka Hyderabad, Antarabangsa India dan Antarabangsa Bangladesh pada 2019 bersama Yee See, kini menghuni ranking ke-23 dunia dalam acara beregu campuran.

Tahun lalu, mereka layak ke separuh akhir Terbuka Thailand (Januari) dan suku akhir Masters Indonesia (November), dua pencapaian terbaik mereka sepanjang tahun.

Pada Terbuka Jerman bulan ini, mereka diundi bertemu pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran pada pusingan pertama manakala pada Seluruh England, mereka dijadual menentang Venkat Gaurav Prasad-Juhi Dewangan dari India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:02 PM