MEI KUAN dan Meng Yean (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah selepas memenangi kejohanan badminton Antarabangsa Syed Modi. FOTO Persatuan Badminton Malaysia
MEI KUAN dan Meng Yean (kanan) ketika majlis penyampaian hadiah selepas memenangi kejohanan badminton Antarabangsa Syed Modi. FOTO Persatuan Badminton Malaysia
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Kem beregu badminton wanita negara terus membuktikan betapa mereka juga mampu menyumbang kejayaan di pentas antarabangsa.

Ia selepas beregu Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean merekod kejayaan terbesar dalam kerjaya mereka apabila menjuarai kejohanan Antarabangsa Syed Modi di Lucknow, India, hari ini.

Pilihan ketiga kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 300 itu memastikan kejuaraan apabila menewaskan beregu tuan rumah, Ashwini Ponnappa-N Sikki Reddy 21-15, 21-13 pada aksi final.

Ia gelaran sulung buat Mei Kuan-Meng Yean yang menghuni ranking ke-19 dunia dalam saingan Jelajah Dunia sesudah terlepas peluang meraihnya apabila sekadar muncul naib juara pada Terbuka Russia, Julai lalu.

“Ini satu kejayaan yang cukup positif buat Meng Yean-Mei Kuan. Mereka menunjukkan prestasi yang baik sepanjang kejohanan ini.

“Bagi perlawanan hari ini, kami merancang untuk bermain dengan corak permainan pantas bagi memaksa lawan bergerak cepat. Ini membuka ruang kosong untuk mereka melakukan serangan balas,” kata ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak ketika dihubungi.

Kejayaan Mei Kuan-Meng Yean hadir tiga minggu selepas satu lagi pasangan negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen menjuarai Terbuka Macau pada 4 November lalu.

Bagaimanapun, cabaran Vivian-Cheng Wen di Lucknow tersekat pada pusingan kedua selepas tewas di tangan Chen Lu-Xu Ya dari China dalam perlawanan yang berlanjutan hingga tiga set.

Vivian juga mengalami kecederaan pada perlawanan itu sekali gus menjejaskan rentak permainannya.

Apa pun, peningkatan prestasi kedua-dua pasangan itu hadir tepat pada masanya dan ia pastinya memberi tonik terbaik buat mereka menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:45 PM