Chong King (kanan) dan Aidil di podium juara di Greece. FOTO Ihsan BAM
Chong King (kanan) dan Aidil di podium juara di Greece. FOTO Ihsan BAM
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN pelapis badminton negara meraih gelaran sulung di peringkat senior apabila menguasai Terbuka Hyderabad, India dan Terbuka Hellas di Sidirokastro, Greece, hari ini.

Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See muncul juara di Hyderabad selepas menundukkan pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine Bandaso 16-21, 21-16, 21-11.

Pang Ron, adik kepada pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo mengakui mereka bangkit dari kesilapan di set pertama untuk merangkul kejuaraan berkenaan.

"Kami melakukan banyak kesilapan mudah di set pertama dan ia menyebabkan berasa tertekan.

Pang Ron-Yee See raih gelaran. FOTO Ihsan BAM
Pang Ron-Yee See raih gelaran. FOTO Ihsan BAM

Bagaimanapun, selepas itu kami cuba memberikan yang terbaik dan berjaya bangkit di set kedua serta penentuan," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Ujarnya, sepanjang kejohanan berkenaan mereka mula membina keyakinan sebaik berjaya memenangi satu demi satu perlawanan dan dalam masa sama keserasian juga berjaya dibentuk dengan baik.

"Sebenarnya masih banyak lagi perkara perlu kami pertingkatkan dan kejayaan ini hanyalah baru permulaan.

Kami harus bekerja lebih keras dan berjuang untuk meraih lebih banyak kejayaan," kata Pang Ron.

Pemain perseorangan lelaki negara, Lim Chong King turut meraih kejuaraan sulungnya di peringkat senior selepas muncul juara Terbuka Hellas dengan menumpaskan rakan senegara, Aidil Sholeh Ali Sadikin di perlawanan akhir.

Chong King, dibimbing jurulatih Indonesia, Hendrawan berhempas-pulas hampir sejam sebelum mencatat kemengan 8-21, 21-13, 21-15 di Greece.

Turut meraih kejuaraan di benua Eropah adalah perseorangan wanita negara, S Kisona yang menumpaskan pilihan ketiga dari Myanmar, Thet Htar Thuzar 21-14, 21-9.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 7:52 PM