VIVIAN (dua dari kanan) bersama Cheng Wen mengatasi beregu Jepun pada final Terbuka Macau, hari ini. FOTO ihsan Persatuan Badminton Malaysia
VIVIAN (dua dari kanan) bersama Cheng Wen mengatasi beregu Jepun pada final Terbuka Macau, hari ini. FOTO ihsan Persatuan Badminton Malaysia
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen sudah bersedia untuk ‘mengaum’ bagi merealisasikan misi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Vivian-Cheng Wen membuktikan mereka mampu menjadi sandaran skuad negara apabila merekod pencapaian terbaik sejak digandingkan September lalu dengan merangkul gelaran Terbuka Macau, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas pasangan ranking ke-75 dunia menewaskan beregu Jepun, Misato Aratama-Akane Watanabe 21-15, 22-20 pada aksi final.

“Macam tak percaya kami menang hari ini. Apa pun, kejayaan ini pastinya meningkatkan lagi tahap keyakinan kami terutama bagi menghadapi kelayakan Olimpik bermula tahun depan.

“Kami tidak boleh terlalu gembira dengan kejayaan ini. Ini permulaan positif, kombinasi kami semakin baik dan diharapkan boleh terus meningkat,” kata Vivian.

Vivian digandingkan dengan Cheng Wen selepas pasangannya sebelum ini, Woon Khe Wei mengalami kecederaan lutut dan terpaksa berehat panjang.

Vivian berkata, fokus mereka kini terarah kepada persiapan bagi menghadapi Terbuka India dari 20 hingga 25 November depan.

“Kami akan pulang dan membuat persiapan terbaik. Kami mahu kekal konsisten dalam kejohanan seterusnya.

“Kami tidak boleh terlalu berpuas hati dengan kejuaraan hari ini. Sebaliknya, perjalanan kami masih panjang dan masih banyak perkara yang perlu diperbaiki,” kata Vivian yang muncul naib juara Terbuka Hyderabad bersama Cheng Wen, September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 7:11 PM