HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah mempunyai memori manis di Sirkit Antarabangsa Chang di Buriram Thailand dan pelumba MotoGP negara itu berharap pusingan baharu dalam kalendar Kejuaraan Dunia, Grand Prix (GP) Thailand itu bakal memberikannya tonik tambahan hujung minggu ini.

Awal tahun ini, pelumba Monster Yamaha Tech3 itu menjalani ujian sulung bersama jentera MotoGP-Yamaha YZR-M1 dan sesi ujiannya berlangsung dengan positif.

“Saya amat menantikan kemunculan di Buriram apatah lagi ia adalah permulaan untuk pusingan di Asia sebelum penutup musim di Valencia.

“Pada dua, tiga perlumbaan sebelum ini, saya bergelut. Kami tahu yang kami berdepan situasi sukar bersama Yamaha, jadi saya harap mereka dapat melakukan sesuatu untuk membenarkan kami berpeluang bersaing untuk mendapatkan keputusan yang baik semula.

“Saya berharap, saya dapat melakukan yang baik dan cuba kembali berada dalam kelompok pungutan mata. Saya masih percaya dengan kemampuan diri, pasukan berusaha dengan penuh gigih, jadi kami akan melakukannya dan tidak sama sekali mengalah.”

Hafizh kini berada di tangga ke-18 keseluruhan dengan 24 mata dalam kelas perdana itu tatkala saingan musim berbaki empat pusingan saja lagi.

Dalam carta muka baharu terbaik, Hafizh kini berada di tangga kedua, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu dari Itali, Franco Morbidelli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 7:17 PM