SEPANG 26 NOVEMBER 2017. Pelumba HKM Times Bike, Hafizh Syahrin (tengah) menjuarai perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia 2017 kategori Superbike, di tempat kedua, pelumba Chia PJ kawasaki, Rajini Krishnan (kiri) dan tempat ketiga rakan sepasukan hafizh, M Farid Badrul Hisam di Litar Antarabangsa Sepang. Farid dinobatkan selaku juara keseluruhan.  NSTP/OSMAN ADNAN OSMAN ADNAN
SEPANG 26 NOVEMBER 2017. Pelumba HKM Times Bike, Hafizh Syahrin (tengah) menjuarai perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia 2017 kategori Superbike, di tempat kedua, pelumba Chia PJ kawasaki, Rajini Krishnan (kiri) dan tempat ketiga rakan sepasukan hafizh, M Farid Badrul Hisam di Litar Antarabangsa Sepang. Farid dinobatkan selaku juara keseluruhan. NSTP/OSMAN ADNAN OSMAN ADNAN
Sukhairi Thani


HAFIZH Syahrin Abdullah kini selangkah lagi ke kancah kelas perdana MotoGP apabila pasukan Monster Yamaha Tech3 akan menggunakan khidmat pelumba negara itu pada sesi ujian rasmi selama tiga hari di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand bermula 16 Februari ini.

Dalam laman web rasmi MotoGP sebentar tadi, pasukan berpangkalan di Perancis itu menyatakan pengalaman Hafizh selama empat tahun dalam Moto2 mematangkan pelumba berusia 23 tahun berkenaan dan dia sudah sedia melangkah ke kelas utama dunia.

“Bagi saya, ia seperti mimpi yang menjadi kenyataan apabila dapat menunggang jentera MotoGP. Saya perlu mengakui yang saya amat teruja untuk menerima peluang sebegini,” kata Hafizh dalam laman web itu.

“Saya berharap dapat membuktikan sesuatu. Selain itu, terima kasih juga kepada Datuk Razlan (CEO SIC) dan semua pihak yang menyokong saya serta menjadikannya kenyataan.

“Saya amat gembira dan tidak sabar untuk ke Buriram kerana ia akan menjadi tunggangan pertama saya bersama jentera MotoGP. Saya tahu yang saya perlu banyak belajar mengenai Yamaha YZR-M1 dan saya amat teruja untuk memahami tugas di dalam pasukan kerana mereka berpengalaman luas.

“Jadi saya mahu mengambil peluang ini. Di sepanjang musim sejuk, saya banyak berlatih dan saya berharap usaha gigih ini berbaloi dan saya tidak sabar untuk memulakan ujian berkenaan.”

Ujian selama tiga hari itu sudah tentunya menjadi ‘pentas’ buat Hafizh untuk menambat hati Herve Poncharal sebelum prinsipal pasukan itu memuktamadkan pelumba keduanya sebaik saja selepas sesi ujian di Buriram.

“Dia masih muda, baru 23 tahun dan sudah berada di pentas podium dalam Moto2 yang mana bukan mudah sama sekali. Dia menamatkan musim lalu di dalam kelompok 10 teratas dan ia pencapaian besar kerana saya tahu saingan sukar dalam kelas berkenaan.

“Seperti saya selalu katakan, untuk memiliki seorang pelumba muda adalah sangat bermakna buat pasukan berbanding menggunakan khidmat pelumba yang sudah mempunyai nama.

“Mari kita lakukan ujian, saya sudah amat teruja dan optimis dan sebaik saja selepas Buriram, kami akan membuat keputusan terakhir,” kata Poncharal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 8:17 PM