RYAN GIGGS
RYAN GIGGS
Reuters

CARDIFF: Pengurus Wales, Ryan Giggs bermula langkah kanan pada perlawanan pertama di halaman sendiri selepas skuad bimbingannya menang 4-1 ke atas Ireland pada aksi Liga Negara Eropah di Stadium Cardiff City awal pagi tadi.

Wales belum pernah menewaskan Ireland selama 26 tahun pada perlawanan kompetitif dan hanya meledak dua gol pada tujuh pertemuan terakhir.

Bagaimanapun mereka mempamerkan watak berbeza kali ini apabila menamatkan kemarau kemenangan menerusi gol sumbangan Tom Lawrence, Gareth Bale, Aaron Ramsey dan Connor Roberts sebelum Ireland meledak satu gol menerusi Shaun Williams.

Sepanjang dua perlawanan pertama di bawah bimbingan Giggs, Wales sudah menjaringkan 10 gol selepas menewaskan China 6-0 pada perlawanan persahabatan.

Wales yang diletakkan dalam Liga B di saingan yang menggantikan perlawanan persahabatan antarabangsa, akan berdepan tugas sukar Ahad ini apabila bertemu Denmark di tempat lawan.

“Pemain saya terlalu hebat. Mereka dapat menjaringkan gol yang menarik dan sudah tentu saya gembira dengan perkembangan ini.

“Tapi agak memberi tekanan kerana kami tidak dapat melakukan persiapan rapi. Kini pasukan ini sudah meletakkan taraf yang tinggi dan kami perlu terus konsisten.

“Saya rasa mereka mampu mempamer aksi lebih baik,” katanya.

Lawrence membuka tirai jaringan selepas enam minit menewaskan penjaga gol Ireland, Darren Randolph sebelum Bale menjadikan kedudukan 2-0 selepas menerima hantaran jauh Ben Davies.

Wales meneruskan dominasi dan sekali lagi memperoleh gol ketiga pada minit ke-37 menerusi Aaron Ramsey sebelum Roberts melengkapkan kemenangan bergaya mereka pada minit ke-55.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 7:53 AM