Jurulatih Wales, Ryan Giggs. FOTO AFP
Jurulatih Wales, Ryan Giggs. FOTO AFP
AFP

RYAN Giggs menyifatkan kelayakan Euro 2020 bagi Wales adalah hari terbaik dalam hidupnya selepas dua jaringan Aaron Ramsey menewaskan Hungary, 2-0 di Cardiff.

Pemain tengah Juventus itu membuat kemunculan pertama dalam kesebelasan utama bagi kempen kelayakan berikutan kecederaan serius yang dialami dan membuktikan kehadiran bersama pasukan Wales dengan menjaringkan gol awal pada setiap babak.

Kejayaan bermakna Giggs, yang tidak pernah berpeluang mewakili negaranya di kejohanan antarabangsa utama ketika kemuncak kerjaya sebagai pemain, mempunyai peluang untuk membimbing pasukannya di Kejohanan Eropah musim panas akan datang.

“Ia tidak menjadi lebih baik,” kata Giggs yang memenangi 25 trofi utama sebagai pemain Manchester United. “Ini adalah antara hari terbaik dalam hidup saya.”

Wales mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah 2016 dan dijangka berdepan laluan getir pada kejohanan tahun depan dengan bersandarkan kepada kemampuan bintang mereka Ramsey dan Gareth Bale.

Barisan pemain Wales meraikan kejayaan layak Kejohanan Eropah musim panas akan datang. FOTO Reuters
Barisan pemain Wales meraikan kejayaan layak Kejohanan Eropah musim panas akan datang. FOTO Reuters

“Saya sangat rindu kepada kempen ini tetapi ia cukup berbaloi apabila berjaya meledak dua gol pada malam ini,” kata Ramsey kepada Sky Sports.

“Kami mempunyai pengalaman berharga ketika di Perancis (pada Euro 2016). Kami memberi inspirasi kepada negara ketika penampilan lalu jadi kami mahu melakukannya sekali lagi."

“Dia pemain bertaraf dunia,” kata Bale mengenai sumbangan Ramsey. “Sangat hebat untuk menerimanya kembali dan dia menunjukkan malam ini bagaimana seorang pemain hebat sepertinya.”

Giggs turut memuji aksi pemainnya untuk mengakhiri kempen dengan lima perlawanan tanpa tewas untuk layak ke Euro buat kali kedua dalam sejarah Wales.

“Daripada mana kami berada pada musim panas, segala pujian di lontarkan kepada kebangkitan semula pemain,” tambah Giggs.

“Barisan pemain ini mampu melakukan yang lebih lagi. Ada kualiti dalam pasukan ini, bukan hanya 11 pemain. Setiap pemain menunjukkan kualiti tersendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 11:33 AM