PEMAIN tengah Juventus, Aaron Ramsey terlepas aksi kelayakan Euro 2020 menentang Slovakia awal pagi esok ketika dia masih belum pulih daripada kecederaan otot, menurut Persatuan Bolasepak Wales (FAW), semalam.
Ramsey mengalami masalah pangkal paha ketika memanas badan buat Juventus yang menang 2-1 di Inter Milan, Ahad lalu.
Pengurus Juventus, Maurizio Sarri menyatakan Ramsey, yang tidak beraksi menentang Inter, berasa sakit ketika sesi latihan pemain gantian.
Dia berlatih dengan skuad Wales sejak dua hari lalu, namun tidak mungkin turun menentang Slovakia awal pagi esok.
“Aaron Ramsey kekal di Cardiff untuk mengembalikan kecergasan bagi perlawanan Ahad ini menentang Croatia,” menurut FAW dalam Twitter.
Ramsey tidak beraksi buat negaranya hampir setahun, dengan penampilan terakhirnya pada aksi persahabatan menentang Albania pada November 2018.
Wales kini di tangga keempat Kumpulan E ketika mereka berjuang untuk layak ke Euro 2020.
Anak buah Ryan Giggs menang dua dan kalah dua, ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Croatia dan tiga mata di belakang pasukan tangga kedua Slovakia dan Hungary di tangga ketiga.