WILSON ketika mengambil sepakan percuma. FOTO/REUTERS
WILSON ketika mengambil sepakan percuma. FOTO/REUTERS
AFP

DUBLIN: Pemain tengah Wales, Harry Wilson menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik bagi membolehkan pasukannya menewaskan Ireland 1-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.

Pemain Derby berusia 21 tahun itu yang mengejutkan penyokong Manchester United di Old Trafford pada aksi Piala Liga bulan lalu meledak jaringan kemenangan melalui rembatan kaki kiri di luar kotak penalti pada babak akhir perlawanan.

Perlawanan seakan berkesudahan seri tanpa jaringan dengan Wales jelas tempang tanpa Gareth Bale dan Aaron Ramsey. Ireland pula bergelut mencari kemenangan selepas beberapa keputusan perlawanan sebelum ini mengecewakan mereka.

Pada babak awal perlawanan, skuad muda kendalian Ryan Giggs tenggelam dalam asakan pasukan Martin O'Neill yang tewas di Cardiff bulan lalu dengan penyerang Real Madrid, Bale dan pemain tengah Arsenal, Ramsey antara pencetak jaringan.

Skuad tuan rumah bermula garang di Dublin dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-10 apabila kelekaan pemain Wales, Matt Smith di luar kotak penalti membolehkan Cyrus Christie merampas bola dan merembat kencang namun berjaya ditepis penjaga gol Wales, Wayne Hennessey berjaya menepis bola keluar.

Aksi pada babak kedua turut mengecewakan sehinggalah pemain Ireland, Harry Arter melakukan terjahan keras ke atas Connor Roberts dan peluang itu digunakan sebaiknya Wilson yang menjaringkan gol menerusi sepakan percuma menarik di luar sebelah kiri kotak penalti.

Wales terlepas peluang menjaringkan gol kedua apabila James Chester gagal melakukan tandukan dengan kemas dari jarak dekat.

Selepas dibelasah Sepanyol 4-1 dalam aksi persahabatan minggu lalu, Giggs melakukan lima pertukaran dengan memberi peluang kepada penyerang remaja Leeds, Tyler Roberts dan pemain Manchester City berusia 18 tahun Smith, yang dipinjamkan ke kelab Belanda Twente beraksi dalam kesebelasan utama.

Bale mengalami kecederaan dan Ramsey bersama keluarga di London selepas isterinya melahirkan anak.

Pemain remaja Chelsea Ethan Ampadu juga tidak beraksi selepas mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 8:17 AM