Penyanyi Zee Avi. FOTO Aziah Azmee
Penyanyi Zee Avi. FOTO Aziah Azmee
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Penyanyi Zee Avi perlu menerima hakikat jika ada yang memanggilnya pekak selepas mengalami masalah pendengaran hingga terpaksa menggunakan alat bantuan pendengaran selama 13 jam sehari ekoran masalah dialami sejak beberapa tahun lalu.

Zee, 37, atau nama sebenarnya Izyan Alirahman berkata, alat bantuan pendengaran yang dipakai sejak setahun lalu itu digunakan di kedua belah telinga.

"Kalau orang panggil pekak, ya, nak buat macam mana lagi kan. Tapi perkataan pekak itu sebenarnya agak sensitif untuk kebanyakan orang sebab kesukaran pendengaran ini ada banyak tahap. Apa yang saya alami adalah hilang pendengaran tapi untuk orang pekak mereka memang daripada lahir.

"Jadi, saya sebenarnya hilang pendengaran. Bila tak jaga kesihatan pendengaran macam itulah ceritanya. Sekarang ini 13 jam saya perlu pakai alat bantuan pendengaran ini, kalau tidur tak pakai. Bila bangun saja terus pakai. Kalau tak pakai bunyinya macam dalam otak. Jadi, rasanya sangat sunyi.

"Sejak setahun lalu, saya perlu pakai alat ini di kedua belah telinga. Kalau tak buat sesuatu, ia akan menjadi makin teruk. Kalau saya tak guna alat ini, kita akan kuatkan lagi bunyi jadi ia akan jadi lebih teruk. Saya sangat bersyukur disebabkan teknologi alat ini jadi tak nampak pun sebenarnya kalau saya pakai," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Zee ditemui pada Majlis Exclusive Screening Hour With The Stars yang dibawakan oleh Global Hearing Care Malaysia, di sini, semalam. 

Menurut Zee, selepas mengalami masalah pendengaran dia mula menghadapi kesukaran untuk berkomunikasi. Secara tidak langsung, produktiviti dirinya sebagai penyanyi dan pemuzik turut terjejas.

"Apa yang seksa adalah bila ramai kawan yang bercakap lemah lembut, jadi bila nak suruh mereka kuatkan suara, saya yang rasa macam mereka sedang sakit. Bila mereka kuatkan sikit suara, mereka dah rasa macam menjerit jadi saya tak mahu lakukan itu kepada kawan saya. Lama kelamaan saya akan rasa malas nak bagi tahu. Setiap kali kalau saya pergi mesyuarat dengan menteri atau orang penting takkan saya nak bagi tahu mereka supaya kuatkan suara.

"Apabila tak dengar, kelantangan suara itu makin lama makin kuat. Pembesar suara 'bluetooth' pun kena letak berhampiran saya. Sekarang ini tak perlu guna dah. Kalau buat pembesar suara dekat telefon pun tak dengar. Tetapi sekarang dah makin baik dan mudah dengan alat ini," katanya.

Dalam masa sama, Zee yang popular menerusi lagu Kantoi berkata, sokongan moral terutama daripada ahli keluarga dan suami membuatkan dirinya nekad untuk mendapatkan bantuan daripada audiologis di Global Hearing Care Centre GHCC), Wangsa Maju. Ia Bermula dengan sesi ujian pendengaran dan konsultasi, Zee akhirnya bersetuju untuk menggunakan alat bantuan pendengaran.

"GHCC juga menawarkan servis alat bantu pendengaran, ujian pendengaran bagi bayi dan dewasa, serta konsultasi masalah pendengaran selain menjadi pengedar beberapa jenama terkemuka Alat Bantu Pendengaran seperti Bernafon, Oticon, Phonak & Widex." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 10:39 AM