PENYOKONG Mohamed Salah akur dengan ketiadaan pemain itu pada aksi pembukaan Piala Dunia Russia. FOTO AFP
PENYOKONG Mohamed Salah akur dengan ketiadaan pemain itu pada aksi pembukaan Piala Dunia Russia. FOTO AFP
Reuters

KETIADAAN Mohamed Salah mengganggu persiapan Piala Dunia Mesir, kata jurulatih Hector Cuper selepas skuad kendaliannya sekadar seri tanpa jaringan bertemu Colombia dalam aksi persahabatan, Jumaat lalu.

“Kami berusaha untuk menampung ketiadaan Salah,” kata Cuper.

“Pemain bertindak balas dengan sempurna terhadap arahan, tetapi ketiadaan Salah mengganggu mana-mana pasukan secara negatif.

Keputusan seri itu bermakna Mesir sudah mengharungi lima perlawanan tanpa kemenangan yang berlarutan sejak Oktober lalu.

Mesir dijangka tidak dapat menyenaraikan Salah pada perlawanan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia pada 15 Jun menentang Uruguay di Ekaterinburg selepas bintang Liverpool itu mengalami kecederaan bahu ketika beraksi di final Liga Juara-Juara, bulan lalu.

Salah juga terlepas aksi menentang Kuwait pada 25 Mei lalu yang berakhir seri apabila dilepaskan bagi persiapan bertemu Real Madrid di final Liga Juara-Juara.

Salah juga tidak akan disenaraikan bagi aksi persahabatan terakhir sebelum Piala Dunia menentang Belgium di Brussels, Rabu ini.

Kali terakhir Mesir meraih kemenangan adalah Oktober lalu menentang Congo yang juga perlawanan kelayakan Piala Dunia sebelum seri dengan Ghana dan ditewaskan Portugal dan Greece pada Mac.

“Keputusan adalah baik (bertemu Colombia) terutama prestasi pemain yang terganggu kerana mereka juga berpuasa,” kata Cuper. 

“Kami akan cuba menyelesaikan masalah ini dengan pakar nutrisi, untuk mengelak sebarang impak negatif disebabkan pemain tidak makan dan minum untuk tempoh beberapa jam.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 9:19 PM