MOHAMED SALAH
MOHAMED SALAH
Agensi

KECERGASAN pemain sayap lincah, Mohamed Salah dilihat bakal menjadi faktor penting sama ada Mesir mampu mengharungi kempen Piala Dunia di Russia dengan cemerlang atau tidak.

Itu pandangan ketua jurulatih Mesir, Hector Cuper yang optimis betapa bintang Liverpool itu akan cergas sepenuhnya untuk beraksi di pentas berprestij itu.

Salah mengalami kecederaan bahu ketika beraksi pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara sekali gus menimbulkan kebimbangan jika dia terpaksa direhatkan untuk aksi Piala Dunia nanti.

Penyerang Liverpool itu diketepikan pada aksi persahabatan bertemu Colombia yang berakhir dengan keputusan 0-0 minggu lalu, namun ada dua minggu lagi sebelum Mesir membuka kempen Piala Dunia menentang Uruguay.

Cuper mengakui pasukannya kehilangan sentuhan pemain berusia 25 tahun itu tetapi baginya, kecergasan yang dimiliki Salah adalah lebih penting.

“Tidak dapat dinafikan dia sukar untuk digantikan. Dia adalah senjata buat kami khususnya bagi serangan balas pantas menggunakan kepantasan dan kualiti yang dimilikinya.

“Sebab itulah jentera serangan kami bergelut. Kami cuba untuk menukar strategi namun pada babak kedua, kami kekurangan kecergasan atas sebab tertentu dan faktor agama memandangkan pemain tidak minum atau makan sesuatu, jadi kami merasakan kesukaran itu.

“Kami cuba menyelesaikan masalah itu dengan menggunakan semua pemain, jadi setiap pemain dapat memberikan maklum balas yang lebih baik. Kami bangkit dengan baik kerana tidak mudah untuk mendapatkan kembali penguasaan bola.”

Mesir akan bertemu Belgium untuk aksi persahabatan terakhir, Rabu ini sebelum berlepas ke Russia dengan mereka dijadualkan bertemu Uruguay sebelum berdepan tuan rumah, Russia serta Arab Saudi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 3:08 PM