MOHAMED SALAH
MOHAMED SALAH
AFP

MOHAMED Salah dikekalkan di bangku simpanan ketika Mesir tewas kepada Uruguay pada aksi pertama mereka di Piala Dunia sebentar tadi kerana pasukannya enggan mengambil risiko kecederaan ke atas bintang Liverpool itu.

Salah, yang menyambut hari jadi ke-26 hari ini, mengalami kecederaan bahu sejak tiga minggu lalu ketika Liverpool tewas kepada Real Madrid di fina Liga Juara-Juara.

Ketika tumpuan ramai terarah kepadanya dalam pertembungan dengan Uruguay di Yekaterinburg, yang menyaksikan pasukan dari Amerika Selatan itu menang 1-0, jurulatih Mesir, Hector Cuper mengakui Salah sudah cergas untuk beraksi dalam perlawanan pertama Kumpulan A.

“Dia memang sangat penting, tiada siapa yang boleh menafikannya, tetapi kami juga perlukan pasukan yang baik,” kata Cuper. “Jika Mo berada di padang, ia mungkin akan berbeza tetapi kami tidak pasti mengenai perkara itu.

“Dia tidak beraksi hari ini kerana kami mahu mengelak daripada sebarang kecederaan atau bahaya, tetapi saya rasa dia akan menjadi lebih baik untuk perlawanan akan datang,” kata jurulatih Mesir ini.

“Semalam, kami cukup pasti dia boleh beraksi. Ketika sesi latihan akhir, dia menjalani pemeriksaan secara penuh dan terdapat risiko dia akan ditimpa masalah jika berlanggar dengan pemain lain.

“Jadi, kami tidak mahu melihat satu lagi kecederaan dan kami mahu mencegahnya. Sebab itulah kami membuat keputusan tidak mahu mengambil risiko. Dia akan beraksi menentang Arab Saudi dan Russia,”  

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 12:01 AM