JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber
JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic. FOTO Muhamamad Zuhairi Zuber
Azizan Hashim


JURULATIH Perak Mehmet Durakovic menuntut anak buahnya mengulangi aksi bertenaga pada pertemuan kedua dengan Melaka United (MU) dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, malam esok.

Harapan itu diluahkan selepas Perak mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan sebelum ini.

"Saya berharap pemain mampu mengulangi persembahan seperti dalam lima perlawanan kami itu. Mereka mempamer persembahan tersusun dan kemas dan semakin mendapat rentak.  

"Saya berpuas hati dengan persembahan mereka setakat ini," katanya yang mengakui semangat dan keyakinan anak buahnya cukup tinggi.

Pada masa sama, jurulatih itu juga sedar perubahan dalam pasukan lawan yang mengambil tindakan drastik menggantikan jurulatih Eduardo Almeida dengan E Elavarasan. 

 "Elavarasan juga bukan calang-calang jurulatih. Dia memiliki pengalaman luas dan sudah pasti akan menurunkan segala ilmu untuk mencapai misinya menyelamatkan pasukan. 

 "Jadi, kami tidak boleh pandang mudah pertemuan ini biarpun menang dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat pada 2 Mei lalu dengan kemenangan 2-1. 

 "Kami melakukan kesilapan besar jika memandang mudah perlawanan ini. Saya berharap pemain tumpukan perhatian terhadap tugasan. 

 "Belum masanya untuk meraikan kejayaan kerana kami belum menang apa-apa. Malah perjalanan masih jauh. Cuma saya berharap pemain mengulangi persembahan seperti ketika menentang Terengganu, Ahad lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 6:15 PM