Woong  (kiri) taruhan Bos Gaurus robek gawang Selangor.
Woong (kiri) taruhan Bos Gaurus robek gawang Selangor.
Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Datuk M Karathu mengarahkan semua anak buahnya memberikan seratus peratus komitmen apabila bertandang ke Stadium Shah Alam untuk bertemu Selangor malam ini.

“Tiada jalan lain. Pemain Perak perlu berikan sumbangan terbaik jika mahu memastikan kemenangan.

“Mereka sudah melakukannya ketika mengatasi Johor DT dan perlu mengulangi persembahan sama di Shah Alam,” kata jurulatih itu.

Karathu menyifatkan aksi malam ini ujian sebenar terhadap perwatakan pasukan The Bos Gaurus dan sehubungan itu berharap anak buahnya mampu bangkit pada keadaan genting.

“Kami perlu hadapi perlawanan dengan penuh kesungguhan dan kesabaran walaupun memang perit buat pemain. Ini ujian perwatakan pemain Perak.

“Saya harap kami mampu melepasi halangan ini dengan jayanya kerana mempunyai satu lagi misi penting selepas ini iaitu bertemu Pahang pada Selasa,” katanya.

Jurulatih itu sedar ranjau yang menanti anak buahnya cukup besar, tetapi Karathu yakin beliau mempunyai tenaga mencukupi untuk membuat perhitungan dengan Selangor dan Pahang.

Ini kerana semua pemain yang cedera kecuali Mohamad Shukri Hamid sudah kembali ke pangkuan pasukan dan bersedia beraksi dalam kedua-dua perlawanan itu.

Malah, kehadiran penyerang utama NamKung Woong dalam rombongan ke Shah Alam meningkatkan lagi keyakinan pasukan The Bos Gaurus untuk pertemuan dengan Gergasi Merah itu.

“Woong akan diturunkan walaupun hanya untuk 60 minit kerana saya mahu bermain dengan semua pemain import Perak,” katanya.

Sehubungan itu, Karathu akan melakukan sedikit rombakan dalam usaha membolehkannya bermain dengan tiga penyerang import.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:34 AM