Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Kecuali aksi Thiago Junio De Aquino, jurulatih Perak Datuk M Karathu belum puas hati dengan persembahan Marco Tulio, Charles Souza Chad dan Namkung Wong.

“Saya harapkan lebih daripada mereka. Persembahan seperti ini belum mencukupi. Sebagai pemain profesional mereka perlu beri teladan kepada pemain tempatan.

“Justeru saya harap mereka akan tingkatkan persembahan dalam aksi akan datang,” katanya selepas Perak seri 0-0 dengan Pulau Pinang, malam kelmarin.

Karathu berpeluang menguji lagi anak buahnya menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ipoh, malam esok.

Begitupun pada perlawanan itu hasrat karathu menurunkan Bobby Gonzales, Azmizi Azmi dan Haris Safwan Kamal tidak kesampaian kerana mereka cedera.

“Saya menurunkan mereka ketika bertemu Kedah di Alor Setar baru-baru ini, tetapi malangnya mereka hanya sempat beraksi separuh masa sahaja.

“Kini mereka merawat kecederaan. Saya kira ia kecederaan lama yang berulang.

“Berikutan itu saya terpaksa menggunakan pemain muda pada perlawanan ini,” katanya.

Secara keseluruhan Karathu tidak puas hati dengan persembahan pemain mudanya kerana kerap kehilangan bola.

“Mereka bermain lebih baik ketika menentang Kedah Setar kerana bermain atas padang kering,”katanya.

Begitupun Karathu mengakui kemampuan pasukan pelawat yang bangkit memberi tentangan pada babak kedua.

“Pulau Pinang bukan calang-calang pasukan. Merka berjaya menundukkan Sime Darby 3-0 dan seri 1-1 dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:04 AM