JUPP HEYNCKES
JUPP HEYNCKES
AFP

BERLIN: Gergasi Jerman Bayern Munich menamakan jurulatih Eintracht Frankfurt, Niko Kovac sebagai pengendali baharu kelab itu bagi menggantikan Jupp Heynckes di penghujung musim ini.

“Niko adalah bekas pemain di Bayern, dia amat mengenali orang yang terbabit dengan kelab selain struktur dan DNA kelab,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

“Kami yakin dia adalah jurulatih yang tepat bagi masa depan Bayern.”

Frankfurt begitupun berang dengan tindakan itu dengan menuduh Bayern sebagai “Tidak profesional dan tidak mempunyai rasa hormat.”

Pengendali berusia 46 tahun dari Croatia itu akan memulakan kontraknya selama tiga tahun pada 1 Julai depan dengan kelab berkenaan membuat pengumuman itu beberapa minit sebelum undian separuh akhir Liga Juara-Juara, semalam.

Juara Jerman itu dijadual bertemu juara Sepanyol, Real Madrid yang juga penyandang juara Eropah di peringkat empat terbaik.

Rakan rapat kepada Salihamidzic, Kovac juga akan membawa adiknya Robert Kovac, 44 dari Frankfurt sebagai pembantu jurulatih.

Lahir di Berlin dengan kedua ibu bapanya berasal dari Croatia, kedua-dua adik beradik itu bermain untuk skuad kebangsaan Croatia dan Bayern.

Niko Kovak sebelum ini pernah melatih skuad kebangsaan Croatia manakala adiknya sebagai pembantu pengurus.

Bayern tidak mendedahkan jumlah wang yang dikeluarkan bagi mendapatkan Kovac tetapi akhbar dan majalah sukan Jerman, Bild dan Sport Bild mendakwa Bayern mengeluarkan AS$2.7 juta (RM10.48 juta).

Selepas menyelamatkan Frankfurt daripada zon penyingkiran pada musim 2015-2016, kelab itu pada musim ini bersaing untuk mendapat tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan dan menghuni tangga kelima liga.

“Dia mempunyai karier yang amat-amat bagus sebagai jurulatih. Dia bekerja dengan begitu ramai pemain dari pelbagai negara di Frankfurt. Itu menjadikannya cemerlang. Kerana itu, dia ditakdirkan untuk menjadi jurulatih Bayern,” kata Heynckes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 10:46 AM